Kalimah سُبْحَانَ اللَّهِ (SUBHANALLAH)
Ertinya: Maha Suci Allah

Zikir bacaan tasbih سُبْحَانَ اللَّهِ (Maha Suci Allah) adalah menyucikan Allah dari segala kekurangan yang tidak layak bagi-Nya.

Subhanallah yang tepat adalah ketika seseorang menyaksikan atau mendengarkan sesuatu yang tidak sesuai dengan keagungan Allah, maka seseorang dianjurkan untuk mengungkapkan “Subhanallah” atau Mahasuci Allah. Tujuannya adalah untuk menyucikan Allah dari berkurangnya keagungan-Nya, Mahasuci Allah dari sifat-sifat kekurangan.

Rasulullah SAW, hairan dengan kesalahfahaman sahabatnya, kemudian baginda menyatakan, Subhanallah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَقِيَهُ فِي بَعْضِ طَرِيقِ الْمَدِينَةِ وَهْوَ جُنُبٌ فَانْخَنَسْتُ مِنْهُ فَذَهَبَ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْنَ كُنْتَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ : كُنْتُ جُنُبًا فَكَرِهْتُ أَنْ أُجَالِسَكَ وَأَنَا عَلَى غَيْرِ طَهَارَةٍ فَقَالَ سُبْحَانَ اللهِ إِنَّ الْمُؤْمِنَ لاَ يَنْجُسُ.

Daripada Abu Hurairah RA, suatu ketika Rasulullah SAW bertemu dengannya di sebuah jalan di Madinah, ketika itu Abu Hurairah dalam keadaan junub. “Kemudian aku bersembunyi dari Rasulullah, lalu beliau pergi dan mandi kemudian menemuinya kembali.” Baginda bertanya: “Kamu ke mana tadi wahai Abu Hurairah?” Abu Hurairah menjawab: “Aku tadi sedang junub, dan aku tidak selesa duduk bersamamu dalam keadaan tidak suci (junub).” Jawab Abu Hurairah. Kemudian Rasulullah bersabda: “Subhanallah, sesungguhnya seorang mukmin tidaklah najis.” (HR Bukhari No: 283)

Contoh yang lain apabila kita merasa hairan bila ada orang yang masih tak menunaikan solat lagi walaupun waktu solat telah berlalu: “Subhanallah, awak belum solat lagi?” atau “Subhanallah, kenapa boleh jadi macam tu?”

Dalam solat, untuk menegur kesalahan imam, maka makmum lelaki dianjurkan untuk menggunakan ungkapan Subhanallah. Di satu sisi makmum ingin menunjukkan kesalahan imam, di sisi yang lain makmum ingin mengagungkan Allah dari sifat lalai.

Perintah untuk bertasbih kepada Allah adalah bentuk menyucikan Allah dari segala macam kekurangan dan keburukan (di satu sisi), dan menetapkan kesempurnaan sifat yang dimiliki Allah (di sisi lain) dengan begitu tasbih bererti menyucikan dan mengagungkan Allah.

Di dalam tasbih juga terdapat ta’zhim (mengagungkan Allah), maka disebutkan di dalam Ithaf al-Kiram, bahawa ungkapan Subhanallah digunakan dalam dua keadaan, yang pertama adalah pengingkaran (atau hairan) yang kedua adalah untuk kekaguman (ta’ajjub).

Kalimah ini biasa juga diucapkan ketika melihat sesuatu perkara yang hebat dan menakjubkan. Contohnya ketika kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan yang teruk.

Kalimah Tasbih ini termasuk zikir yang dianjurkan kepada setiap Muslim. Baginda SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Ada dua kalimat yang ringan diucapkan namun berat timbangan (pahala) nya, dan dicintai oleh Allah, yakni subhaanallah al-adzim subhaanallah wabihamdihi.” (HR. Ibnu Majah No: 3806)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ : مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِئَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْر.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca subhanallah wa bihamdih seratus kali dalam sehari, maka akan dihapuskan kesalahannya meskipun sebanyak buih di lautan.” (HR Bukhari No: 6405).

Amalkan yang sahih dan biasakan yang betul.

SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian