Silaturahim Menjemput Rezeki Dan Keberkatan Umur

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Daripada Anas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaknya ia menyambung silaturahim (kekerabatan).” (Sunan Abu Daud No: 1443) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

  1. Antara kebahagiaan seorang ialah apabila hidup dalam suasana saling berkasih sayang sesama anggota masyarakat.
  2. Saling berkasih sayang dituntut dalam menjaga hubungan silaturahim khususnya dengan ahli keluarga seperti kedua ibu bapa, adik beradik, ibu dan bapa saudara, sepupu dan lain-lain.
  3. Antara kelebihan Muslim yang sentiasa menjaga hubungan silaturahim:

a. Diluaskan rezeki (murah rezeki)

b. Dipanjangkan umur (umur yang barakah dalam keadaan sihat dan beramal soleh).

  1. Imam Nawawi menjelaskan hadis: diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)
  2. Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ وَتَصِلُ الرَّحِمَ

“Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim. (HR Bukhari No: 5983)

  1. Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287)

Marilah kita memelihara hubungan silaturahim dan ikatan kekeluargaan dengan adik beradik dan ahli keluarga yang lain.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera