Kemanisan Iman Kerana Cinta Dan Benci
عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (iaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka (Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:
a. Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.
b. Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.
c. Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.
2. Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).
3. Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.
4. Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.
5. Imam Nawawi berkata: “Apabila seseorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka dia adalah seorang pendengki”. Pendengki menurut pendapat Imam Ghazali ada tiga keadaan:
a. Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya
b. Bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut sekalipun ia tidak mendapatnya
c. Tidak bercita-cita hilang nikmat itu dari orang lain tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya, apa yang disukainya biar sama tarafnya.
6. Kemanisan iman juga tercapai apabila ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu (benci) untuk dicampakkan ke dalam api neraka.
“Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama”
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor