Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Orang Lain
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”. (Sahih Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mencintai sesama Muslim.
2. Jika kita suka diri mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mencintai saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama.
3. Jika kita suka memperolehi nikmat dunia kita juga sewajarnya suka agar saudara muslim yang lain juga memperolehinya.
4. Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.
5. Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.
6. Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara” (al-Hujurat: 10)
7. Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.
Semoga Allah memberikan kita taufik untuk mencintai saudara kita yang beriman sebagaimana kita suka mendapatkan hal yang sama.
“Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama”
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor