Mukaddimah

Mutakhir kini, dalam era globalisasi yang serba maju, seiring dengan kecangihan teknologi global, tidak menjadi satu kemustahilan dan kesukaran bagi seseorang untuk menyebarluaskan sesuatu maklumat untuk disampaikan kepada masyarakat. Bahkan manusia kini lebih banyak berinteraksi kepada alam maya yang terkumpul didalamnya limpahan berita yang diperoleh melalui pelbagai saluran seperti surat khabar, majalah, Media massa (WhatsApp, Facebook, Instagram, YouTube) dan sebagainya. Taip sahaja kata kunci pada enjin carian internet, setiap perincian maklumat yang diperlukan akan dipamerkan. Isunya, adakah maklumat yang mudah untuk diperoleh ini, mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya?. Jika perkhabaran itu merupakan satu kebenaran, maka ia adalah baik bagi yang menerimanya, namun jika ia adalah sebaliknya maka pasti mengundang kepada permusuhan dan perselisihan.

Kehidupan bermasyarakat pada hari ini tidak lekang daripada membincangkan isu-isu semasa sebagai bahan gosip dan hujah dalam mengadu domba diantara manusia. Keadaan ini diperkeruhkan dengan kehadiran sekelompok masyarakat yang menjadikan gosip dan aib orang lain sebagai bahan dagangan untuk mengaut keuntungan dunia dalam meraih populariti. Akhirnya, masyarakat akan hidup dalam keadaan bermusuhan dan kucar kacir.

Kita sering terlupa bahawa Allah SWT berpesan di dalam firmanNya bahawa umat Islam perlu bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang. Adab atau sikap yang terkait dengan “tabayyun” ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Justeru penulisan Bayan Linnas pada kali ini bertujuan untuk menyebarluaskan kefahaman dalam memahami konsep tabayyun dalam menerima segala berita dan maklumat, seterusnya diharapkan penulisan ini dapat dihayati dan sedikit sebanyak memberi kefahaman. Kami tajukkannya dengan Tabayyun Dalam Penerimaan Dan Penyampaian Berita. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua dalam melayari bahtera kehidupan dengan aman sentosa serta harmoni. Amin.

Definisi Tabayyun

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)

Source: BAYAN LINNAS SIRI KE 184: TABAYYUN DALAM PENERIMAAN DAN PENYAMPAIAN BERITA