Sebagai anak, antara tanggungjawab kepada ibu bapa adalah berbuat baik kepada keduanya sama ada semasa mereka masih hidup juga selepas kematian keduanya. Antara amalan anak yang soleh sebagai tanda berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah mendoakan keduanya.
- Doa dan istighfar.
Sabda Nabi SAW:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (HR Muslim No:1631)
Imam al-Nawawi mengulas di dalam al-Azkar dengan katanya: Telah ijma’ ulama bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr: 10)
Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا
“Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. (HR Abu Daud No: 3201)
- Bersedekah untuk kedua orang tua. ‘Aisyah RA meriwayatkan perihal Sa’d bin Ubadah yang bertanya kepada Baginda SAW:
إنَّ أمِّي افتُلتَتْ نفسُها وأظنُّها لو تكلَّمَتْ تصدَّقَتْ فهل لها أجرٌ إن تصدَّقتُ عنها قال: نعمْ تصدق عنها
“Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (dan tidak memberikan wasiat), dan aku mengira jika ia boleh berbicara, maka ia akan bersedekah. Maka, apakah dia akan memperoleh pahala jika aku bersedekah atas namanya (dan aku pun mendapatkan pahala)? Beliau menjawab: “Ya, maka bersedekahlah untuknya.” (HR Muslim, No. 1004)
Para ulama bersepakat bahawa boleh bersedekah ke atas nama orang yang telah meninggal sama ada dengan menggunakan harta si mati atau menggunakan hartanya sendiri.
- Melunaskan hutang bagi pihak ibu dan ayah. Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
“Siapa yang mati sedangkan ada baginya puasa qadha’ maka hendaklah walinya berpuasa bagi pihaknya.” (HR Bukhari No:1952)
Ibn Abbas R.Anhuma:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ ” لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ” . قَالَ نَعَمْ . قَالَ ” فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى ”
Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan”(HR Muslim No: 1148)
Pahala adalah hak orang yang beramal. Jika ia menghadiahkan kepada orang tuanya atau mana-mana saudara Islamnya, maka hal itu tidak ada halangan sebagaimana ia menghadiahkan harta untuk orang lain di waktu hidupnya.
Anak yang soleh akan berusaha menjelaskan hutang ibu bapa termasuk hutang pada manusia.
Allah SWT memberikan banyak peluang kepada seseorang untuk berbuat baik atau berbakti kepada orang tua walaupun mereka sudah meninggal dunia.