Selain daripada amalan wajib yang dituntut kepada setiap Muslim seperti solat waktu, puasa Ramadan juga ibadat Zakat, terdapat juga ibadat sunat yang amat digalakkan.
Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ
Daripada Abu Hurairah RA katanya; “Sahabat akrabku SAW mewasiatkan kepadaku untuk melakukan tiga perkara, berpuasa tiga hari setiap bulan, melaksanakan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari, dan melakukan solat witir sebelum tidur.” (HR Muslim No: 1182) Status: Hadis Sahih
Biasanya bila kita sebut wasiat, ia merupakan suatu amanah yang tidak boleh tidak perlu dilaksanakan. Dalam hadis di atas ia bukannya bermaksud wajib namun wasiat berupa ikrar atau pengakuan untuk disempurnakan. Rasulullah SAW telah meninggalkan pesanan agar dapat kita laksanakan. Antaranya:
a. Berpuasa sunat tiga hari setiap bulan
b. Melaksanakan solat sunat dhuha dua rakaat
c. Melakukan solat witir sebelum tidur
Orang yang berpuasa tiga hari sebulan menyamai ganjarannya sebulan penuh (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ الْأَبَدَ صَوْمُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ الشَّهْرِ صَوْمُ الشَّهْرِ كُلِّهِ
Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam satu bulan, sama halnya dengan berpuasa sebulan penuh.” (HR Muslim No: 1967) Status: Hadis Sahih
Bagi yang melaksanakan solat sunat Dhuha, antara kelebihannya adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita.
Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى
“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” (HR Muslim No:720).
Sementara tuntutan kepada solat sunat witir pula, Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّكُمْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ ثُمَّ لْيَرْقُدْ وَمَنْ وَثِقَ بِقِيَامٍ مِنَ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ مِنْ آخِرِهِ فَإِنَّ قِرَاءَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَحْضُورَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ
“Siapa di antara kalian yang khuatir tidak boleh bangun di akhir malam, hendaklah ia witir sebelum tidur. Dan siapa yang yakin mampu bangun di akhir malam, hendaklah ia witir di akhir malam, kerana bacaan di akhir malam akan dihadiri (oleh para Malaikat) dan hal itu adalah lebih utama.” (HR. Muslim No: 755) Status: Hadis Sahih
Ayuh kita melaksanakan wasiat Rasulullah SAW yang merupakan sunat muakkad (suatu amalan yang amat digalakkan) kepada mereka yang dikasihi Rasulullah SAW iaitu puasa sunat tiga hari sebulan, solat sunat dhuha dua rakaat dan solat witir. Moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk melaksanakannya.