Setiap yang hidup akan menemui kematian. Kematian tidak menunggu usia tua dan sakit bukanlah syarat untuk mati. Ramai yang sihat, mati secara tiba-tiba.
Perlu kita ketahui bahawa dunia berada di penghujung, semakin hari semakin menghampiri kiamat. Begitu juga umur kita, semakin hari semakin berkurang usia kita dan semakin menghampiri kematian. Sedangkan waktu dan masa amat terbatas.
كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.” (Surah Ali Imran: 185)
Basyr bin al-Harith rahimahullah pernah berkata:
مَرَرْتُ بِرَجُلٍ مِنَ العُبَّادِ بِالبَصْرَةِ وَهُوَ يَبْكِي فَقُلْتُ مَا يُبكِيْكَ فَقَالَ أَبْكِي عَلَى مَا فَرَّطْتُ مِنْ عُمْرِي وَعَلَى يَوْمٍ مَضَى مِنْ أَجْلِي لَمْ يَتَبَيَّنْ فِيْهِ عَمَلِي
“Aku pernah bertemu seorang ahli ibadah di Basrah dalam keadaan sedang menangis. Aku bertanya: “Apa yang menyebabkanmu menangis?” Dia menjawab: “Aku menangis kerana umur yang luput dariku dan hari yang telah berlalu pergi. Ajalku ternyata semakin dekat, tetapi belum jelas juga amalanku.” (Mujalasah wa Jawahir Al-‘Ilm)
Ahli ibadah yang sentiasa melakukan amal soleh pun menangis kerana bimbang tentang amalannya yang dirasakan sedikit dan tidak mencukupi. Bagaimana dengan kita yang sedikit amalan soleh serta sentiasa sering lalai? Berapa kerap kita menangis kerana takut di atas kesalahan dan kelalaian? Atau tiada sebarang tangisan bahkan semakin leka dan lagha dengan kehidupan di dunia?
Berlumbalah dalam melakukan kebaikan, ketaatan, kebajikan dan kebaktian. Contohilah salafussoleh yang terdahulu, semoga kita sentiasa bersedia dengan amal soleh yang mencukupi sebelum dijemput pulang mengadap Allah SWT. Firman Allah:
إِنَّهُمۡ كَانُوا۟ یُسَـٰرِعُونَ فِی ٱلۡخَیۡرَ ٰتِ وَیَدۡعُونَنَا رَغَبࣰا وَرَهَبࣰاۖ وَكَانُوا۟ لَنَا خَـٰشِعِینَ
“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami” [Surah al-Anbiya’ 90]
Perlumbaan dalam ayat di atas membawa maksud perlumbaan dalam melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Allah SWT menceritakan kisah Nabi Zakaria dan para RasulNya sebagai satu pendekatan motivasi dan semangat kepada kita untuk berlumba-lumba mengerjakan amalan kebaikan dan bersungguh-sungguh dalam beribadah.