Bersabar Ketika Bersama Manusia

عَنْ يَحْيَى بْنِ وَثَّابٍ عَنْ شَيْخٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ الْمُسْلِمِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
قَالَ أَبُو عِيسَى قَالَ ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ كَانَ شُعْبَةُ يَرَى أَنَّهُ ابْنُ عُمَرَ

Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah dari Nabi SAW baginda bersabda: “Jika seorang muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” Ibnu Abi Adi berkata: Syu’bah berpendapat syeikh itu adalah Ibnu Umar. (Sunan Tirmizi No: 2431) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat sabar adalah tuntutan Iman yang perlu ada pada setiap Muslim

2. Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat bukan Islam atau masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu yang dipuji oleh Islam. Kehadirannya menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya.

3. Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat adalah suatu keperluan untuk merebut peluang berperanan memperbaiki masyarakat. Peluang untuk menyebarkan dakwah, menjadi pengislah kepada kejahilan dan kejahatan. Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar memerlukan kesabaran.

4. Berada di tengah-tengah kelompok manusia yang pelbagai ragam, melakukan engagement dengan semua golongan dan kaum, Islam dan bukan Islam, pastilah akan menghadapi pelbagai kerenah, kejahatan dan kesulitan.

5. Muslim yang ingin ganjaran besar di sisi Allah akan menghadapi semua golongan masyarakat, Islam dan bukan Islam atau pelaku maksiat ketika bergaul bersama mereka dengan sifat RAHMAH bukan kebencian, permusuhan dan perkauman.

6. Bersabar menghadapi pelbagai kerenah kelompok semasa engagement dilakukan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah

7. Mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di luar dari kejahatan dan kerenah manusia, tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci dari mereka yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan.

8. Penting bagi Muslim untuk mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar menjadi qudwah kepada orang lain dan menjadi benteng terpengaruh dengan kejahatan juga keburukan mereka.

“Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama”

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor