Keganasan Terhadap Wanita.jpg

Keganasan terhadap wanita sama ada kepada individu atau kelompok tanpa mengenal usia mangsa merujuk kepada tindakan kekerasan yang dilakukan secara sengaja atau dirancang terhadap wanita. Ini merupakan salah satu pelanggaran hak asasi manusia dalam masyarakat. Keganasan terhadap wanita berlaku sama ada secara fizikal, mental, emosi atau seksual. Pelakunya boleh terdiri dari kalangan ahli keluarga sendiri, orang terdekat ataupun orang yang tidak dikenali dari kedua-dua jantina.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendefinisikan keganasan terhadap wanita sebagai setiap serangan terhadap wanita yang menyebabkan bahaya fizikal, seksual atau psikologi kepada wanita, dan juga termasuk ancaman serangan, tekanan atau perampasan kebebasan sewenang- wenangnya.

Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah manifestasi daripada hubungan kekuasaan yang tidak setara antara lelaki dan wanita. 

Keganasan ini digunakan sebagai mekanisme untuk menundukkan wanita, baik dalam masyarakat mahupun dalam hubungan peribadi. Kebiasaannya ini adalah kerana pelaku berasa mempunyai hak serta berkuasa untuk memperlakukan wanita sebegitu. Kebencian melampau atau dendam (misogini) terhadap wanita terutama akibat pengalaman lampau juga merupakan antara faktor berlakunya keganasan terhadap wanita.

Seharusnya masyarakat tidak wajar berdiam diri dalam perkara ini. Perlu diingat, kita hidup dalam lingkungan wanita. Ibu yang melahir dan membesarkan, nenek, kakak, adik perempuan, anak perempuan, cucu perempuan serta isteri yang diambil dari keluarganya dan diterima akad nikahnya kesemuanya adalah WANITA.

Keganasan terhadap wanita memberi kesan yang sangat mendalam terutamanya dari segi fizikal dan mental seperti kemurungan, trauma, post traumatic stress disorder dan skizofrenia. Keganasan ini juga boleh menyebabkan pelbagai perkara yang di luar jangka terjadi seperti membunuh dan membunuh diri. Selain itu, keganasan ini turut menjejaskan perkembangan diri yang sihat serta boleh meninggalkan parut dan trauma yang dalam dan berpanjangan kepada ahli keluarga terutama kepada anak-anak yang menyaksikan keganasan tersebut. 

Masyarakat perlu peka, ambil tahu dan memberi sokongan kepada mangsa kerana ia dapat menyelamatkan nyawa dan kehidupan wanita serta anak-anak mangsa wanita tersebut. Kaum wanita juga perlu mengambil tahu dan bertanggungjawab menjaga diri dalam menangani isu keganasan terhadap diri mereka.

Justeru, bersempena dengan HARI ANTARABANGSA PENGHAPUSAN KEGANASAN TERHADAP WANITAPUSAT KAUNSELING UTM menyeru kepada warga UTM untuk bersama-sama membanteras kezaliman ini dengan bertindak tampil dan lapor kepada pihak berkuasa. Anda juga boleh menghubungi Talian Kasih di talian 15999 (24 jam) atau aplikasi Whatsapp 019 2615999.