Luahkan.
Adilah merenung dua beg yang bergeletakan depannya. Beg berwarna ‘pink’ dan hijau yang bertemakan ‘Didi and Friend’ itu ialah beg nurseri anak-anaknya untuk ke rumah asuhan. Anak-anak Adilah dititipkan ke rumah asuhan setiap hari sewaktu Adilah bekerja.
Beg itulah yang digunakan untuk mengisi pakaian, ‘pampers’ , bekalan susu malahan buku catatan harian taman asuhan. Setiap perkembangan anak-anaknya Adilah dapat ikuti dari tulisan catatan pengasuh anaknya.
Beg itu kesayangan Anas dan Anis masing-masing berumur dua dan empat tahun. Ada banyak cerita tersirat di balik beg itu. Salah satu yang tersirat itu ialah berkenaan diri Adilah sendiri.
Melalui beg itu Adilah mula kenal dirinya malahan dengan beg itu banyak yang Adilah dan suami belajar untuk mengurus rumahtangga mereka yang masih terlalu muda ini.
Kali terakhir Adilah mengurus hal ehwal beg nurseri anak-anaknya dua bulan yang lalu. Sebelum ini, setiap hari tugas Adilah ialah mempersiapkan beg nurseri. Setiap hari Adilah nanar memikirkan pakaian apa yang perlu dimasukkan ke dalam beg-beg itu.
Anak-anaknya tidak ambil peduli apa warna dan jenis pakaian yang dipilih oleh mama mereka. Adilah pula memikirkan dengan berat bab memilih pakaian. Memikirkan apa baju yang nak dipadankan dengan seluar umpama memikirkan masalah dunia.
Bagi orang lain mungkin tugas itu mudah tetapi tidak bagi Adilah. Dia takut untuk memberitahu suaminya kerana perkara itu bukan kompleks seperti belajar anatomi semasa dia di universiti dahulu. Lagipun dia tidak mahu menambah beban suaminya yang sedia terbeban dengan kerja- kerja di pejabat.
Tugas memasak, mengemas rumah seperti menyapu, mengemop dan membasuh pinggan lebih mudah berbanding kerja yang satu itu. Kemas beg sahajapun! Adilah pelik. Rupanya ia memberi tekanan hingga Adilah selalu diserang sakit kepala.
Adilah sendiri tidak sedar bahawa tugas itu ‘beban’ baginya hinggalah satu hari dia memberanikan diri meluahkan perasaan pada suaminya. Itupun setelah sekian lama menimbang dan berkira-kira untuk bersuara. Adilah menyuarakan kesulitan yang dihadapinya bila mengemas beg-beg itu dan juga sakit kepala yang kerap Adilah alami.
Syukur, toleransi berjaya dibina. Beg itu kini bahagian suaminya.
Komunikasi berkesan? Syukur ia berjaya dipraktikkan bukan hanya topik dan teori yang dibincangkan dalam kursus-kursus komunikasi yang dihadiri mereka.
Alhamdulillah, kini kepala dan dada Adilah betul-betul lapang.
Komunikasi itu penting dan tunjang untuk melayari kehidupan berumahtangga.
Firman Allah swt dalam surah Al Ahzab :70
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَقُوْلُوْا قَوْلًا سَدِيْدًاۙ
“ Wahai orang-orang yang beriman !Bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar. “
Wanita IKRAM Johor