Perkahwinan merupakan ikatan suci yang mampu menjana pahala dan kebahagiaan.
Untuk mencapai tujuan ini, beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian :
- Perkahwinan itu Ibadah :
Terdapat segolongan kita memahami ibadah sebagaimana yang terdapat dalam rukun Islam. Dalam konteks sebenar, ia merangkumi seluruh aktiviti kehidupan sama ada kerjaya, perkahwinan, pendidikan anak-anak dan Iain-lain perkara, walaupun pada zahirnya seolah-olah bersifat duniawi.
Oleh itu setiap pasangan Islam perlu memahami bahawa urusan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga sebagai salah satu ibadah kepada Allah SWT, selagi mana dilakukan kerana Allah dan dalam batas syariat Allah SWT.
- Pemilihan pasangan
Tugas dan tanggungjawab seorang muslim bermula seawal memilih pasangan bagi memastikan rumahtangga yang dibina mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ: لِمَـالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ.
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (Hadis Riwayat Bukhari)
- Berpegang Dengan Batas-batas Islam
Kita mahukan supaya hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Bermula dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri dan masa pengantin baru atau berbulan madu mestilah jauh dari adat lapuk jahiliah yang merosakkan.
- Saling Percaya Mempercayai
Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai, cinta-mencintai di antara suami isteri, akan terhapus segala prasangka buruk dan segala keraguan. Tiada lagi kata mengata, tuduh-menuduh dan hidup dalam kepura-puraan.
Suasana ini mampu menumbuh dan membugarkan kebahagiaan yang sebenar-benarnya kepada pasangan di dalam sebuah rumahtangga insya-Allah.
- Sebagai Syarikat Perkongsian
Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama dan syura, tolong-menolong antara satu sama lain, walaupun suami merupakan kuasa pemutus, ia mampu melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga. Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya”.
(S Al-Baqarah : 228)
- Tanggungjawab dan Amanah
Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab bersama-sama.
Oleh itu dalam mendidik anak-anak, suami isteri perlu menekankan kepentingan membangunkan jiwa kehambaan hanya kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”.
(S At Tahrim : 6)
Sungguh! Kita mampu menikmati kebahagiaan dan meraih pahala melalui perkahwinan Insya-Allah seandainya kita memahami dan mempraktikkan setiap garis panduan yang digariskan oleh Islam tanpa mengabaikan atau melampaui.
Benar Firman Allah SWT:
وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً ۗاِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Rum: 21)
Wanita IKRAM Johor
8hb Oktober 2021
01hb Rabiul Awal 1443H