Kereta putihnya meluncur laju membelah lebuhraya ke utara tanah air. Hati Adilah melonjak girang. Lagu “Balik Kampung” nyanyian Allahyarham Sudirman yang dinyanyikan oleh anak-anak menambahkan ceria perjalanan mereka sekeluarga.

Hujan yang membasahi lebuhraya ini sangat mendamaikan. Kenderaan banyak namun bergerak lancar Semua ceria dan girang. Sudah hampir setahun Adilah sekeluarga tidak bertemu ibu dan ayah di kampung. Semua angkara makhluk Allah yang bernama COVID-19.

Ada banyak hikmah disebaliknya. Semoga perjalanan berbaki tiga jam lagi akan dipermudahkan dan dipelihara oleh Allah dari sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sepanjang setahun tidak pulang menemui ibu ayah, berapa banyak air mata telah tumpah. Rasa rindu kepada orangtua ditambah dengan “seksaan” terkurung lama membuatkan Adilah sering tertekan.

Sebagai ibu yang bekerjaya dengan anak-anak kecil yang memerlukan perhatian dan belaian, Adilah akui dia sangat penat. Penat mental dan fizikal. Kepulangannya ke kampung umpama ubat untuk kerinduan dan kepenatannya.

Adilah sesekali menoleh memandang suaminya yang sedang fokus memandu. Masing-masing melayan perasaan. Adilah terimbau kenangan peristiwa saat terakhir dia menjenguk ibu ayah di kampung, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Satu momen yang begitu menyentap sanubarinya yang selama ini alpa dan lalai. Sehingga umurnya 35 tahun ini dia sentiasa menganggap ibunya masih muda lagi, masih seperti ibu yang mengasuhnya ketika dia berumur 12 tahun.

Apakah momen yang mengejutkannya dari tidur itu?

Saat itu semua telah berkumpul untuk makan bersama. Lauk pauk yang terhidang dari air tangan ibunya benar-benar membangkitkan selera. Di depan matanya dia menyaksikan tangan ibu yang kini berkedut, terketar-ketar menyenduk nasi ke pinggan.

Pandangan Adilah terpaku ke tangan itu. Adilah tersentak. Air mata Adilah berlinangan. Hati Adilah terpukul. Ibuku telah tua. Ibunya yang tangkas lincah dan ceria hakikatnya telah dimamah usia. Adilah alpa selama ini. Jika pulang ke kampung, ibu yang menyediakan sarapan dan melayan mereka, sedang Adilah pula menikmati “vacation” di rumah dengan alasan dia penat mengurus anak-anak kecilnya.

Saat itu juga kotak memorinya menangkap momen-momen lain. Momen ibu terbongkok-bongkok mengutip “pampers” anaknya yang ditinggalkan di bilik air dan juga ketika mengemas mainan yang bertaburan di lantai. Ibu tak pernah mengeluh. Kepulangan anak cucu yang berkumpul di bawah satu bumbung diraikan penuh ikhlas.

“Apa yang awak menungkan tu?” Pertanyaan suaminya mengejutkan Adilah dari lamunan panjang.

“ Abang dah orderkan barang-barang basah dari Manap?”

Adilah bersuara menjawab pertanyaan suaminya.

“Dah!” Ringkas jawapan suaminya tapi membuatkan Adilah tersenyum meleret.

Kepulangan mereka kali ini betul-betul dirancang. Alhamdulillah ada kawan sekolahnya dulu, Manap yang akan menguruskan belian barang-barang basah.

Malahan Adilah juga telah menguruskan khidmat mengemas rumah harian untuk ibunya. Maka, ibu tak perlu bersusah payah mengemas sebelum dan selepas anak cucu pulang ke kampung.

Meskipun bagi keluarga muda seperti mereka, wang ringgit masih agak “tight” tetapi Adilah dan suami telah bersepakat mengurus sebaiknya kewangan supaya ada hak ibu ayah yang terpelihara.

Sebolehnya Adilah berusaha supaya ibu ayah dapat menikmati kepulangan anak cucu sebaiknya. Cukuplah ibu ayah telah berpenat-penat mengasuh dan mendidik anak-anak semasa muda. Kini biarlah mereka bermain dan bersenda gurau dengan cucu-cucu tanpa diulit kepenatan.

Adilah tak sabar memeluk dan mencium tangan ibu dan ayahnya.

Wanita IKRAM Johor
5hb November 2021