Setiap kehidupan akan berakhir dengan kematian. Hidup dan mati adalah ujian buat insan. Firman Allah SWT:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
“(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk : 2)
Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.
Kematian yang dialami oleh manusia, sama ada kematian secara mendadak seperti serangan jantung, kemalangan dan sebagainya, atau kematian biasa yang terjadi melalui proses penuaan secara perlahan-lahan, kesemuanya mengalami apa yang dinamakan sakarat al-maut, yakni hilangnya kesedaran yang diikuti oleh perpisahan ruh daripada jasad.
Kematian bukanlah kemusnahan untuk selama-lamanya. Kematian adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, dari satu persinggahan ke persinggahan seterusnya, dari alam dunia ke alam barzakh menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.
Kata Umar bin Abdul Aziz:
إِنَّمَا خُلِقْتُمْ لِلأَبَدِ وَلَكِنَّكُمْ تُنْقَلُونَ مِنْ دَارٍ إِلَى دَارٍ
“Kamu semua dicipta untuk kehidupan yang lebih abadi. Kamu sebenarnya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 5/287)
Abu al-ʿAtahiyyah, seorang penyair terkenal berkata:
وَما الموْتُ إلاّ رِحْلَة ٌ، غَيرَ أنّهَا مِنَ المنْزِلِ الفَاني إلى المنزِلِ الباَقي
Bukanlah kematian itu kecuali adalah sebuah perjalanan.
Dari tempat musnah ke tempat yang abadi selama-lamanya.
Jenazah di dalam kubur, hidup di alam Barzakh. Menerima nikmat ataupun merasai seksaan sebagai permulaan kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Sama ada seseorang itu diberi balasan baik, ataupun dikenakan seksaan. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/273)
Sama-sama kita menginsafi bahawa kematian pasti ditempuh oleh semua yang hidup. Yang penting, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam husnul khatimah dan kita dapat mengisi kehidupan ini dengan ibadat secara berterusan.
Daripada Busr bin Arthoh berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
“Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.” (HR Ibn Hibban No: 949)
Jom Doa…
اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة
“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”