YBhg. Tan Sri/Dato’/Prof./Dr./Tuan/Puan,
Di Malaysia, perayaan Hari Kanak-Kanak Sedunia telah mula disambut pada 8 Oktober 1959 bertempat di Stadium Negara Kuala Lumpur iaitu sebaik sahaja PBB mengisytiharkan sebagai hari untuk persaudaraan sejagat dan kefahaman di kalangan kanak-kanak seluruh dunia.
Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia ini sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan oleh kerajaan dan masyarakat kepada seluruh generasi kanak-kanak sebagai sebahagian ahli masyarakat yang bakal menjadi pemimpin keluarga dan negara. Sambutan ini juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan peranan dan tanggungjawab untuk memelihara hak serta masa depan kanak-kanak di Malaysia. Selain itu, sambutan ini turut merupakan satu program advokasi bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap hak-hak dan isu-isu yang dihadapi berkaitan kanak-kanak. Setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dan membesar dalam suasana yang kondusif agar mereka mampu menjadi individu yang boleh mencapai potensi penuh sejajar dengan keupayaan dan kemampuan diri. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sehingga Mei 2021, seramai 9.69 juta penduduk Malaysia adalah terdiri daripada kanak-kanak iaitu 29.31% daripada jumlah penduduk Malaysia. Bagaimanapun, yang menyedihkan sehingga 14 Oktober 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia merekodkan seramai 5,173 orang murid sekolah menjadi yatim, atau yatim piatu atau kehilangan penjaga akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara. Manakala antara Jun 2020 dan Ogos tahun ini 1,721 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak telah direkodkan manakala 2,162 kes aktif sedang dalam perbicaraan.