Setiap kita sentiasa mengharapkan agar dikurniakan jiwa yang tenang dan tenteram.

Jiwa yang tenang adalah nikmat yang besar yang perlu kita syukuri. Beruntunglah orang beriman yang memiliki jiwa yang tenang kerana sentiasa mengingati Allah.

Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Rad, ayat 28)

Jiwa yang tenang dan tenteram adalah hasil daripada akhlak mulia yang dimiliki. Dalam sebuah hadis daripada Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Maksudnya: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (HR Muslim No: 2553)

Amal kebaikan serta amar makruf yang dilakukan akan menghasilkan jiwa yang tenang.

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. (HR Ahmad No: 18006)

Orang yang berbuat baik akan sentiasa memperolehi ketenangan dan ketenteraman; sedangkan orang yang berdosa selalu dirundung oleh rasa curiga terhadap semua peristiwa, semua aktiviti dan sikap yang terjadi.

Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai ujian hidup yang boleh membawa kepada kegelisahan dan ketidak ketenteraman jiwa.

Mohon perlindungan agar dijauhi daripada kemurungan, kesedihan yang berlebihan, sifat lemah, malas serta pengecut.

Amalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksud: “Ya Allah, aku berlindung padamu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil dan aku berlindung dari cengkaman hutang dan penindasan orang.” (HR Abu Daud, No. 1555)