Maulid Rasul dan Baitul Muslim
Al-Quran menjelaskan Nabi Muhamad SAW adalah contoh teladan yang baik buat umat baginda termasuk dalam kehidupan berumahtangga.
Firman Allah SWT :
Maksudnya: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzab : Ayat 74).
Sempena kehadiran bulan Maulidur Rasul SAW, mari kita melihat serta mengambil contoh daripada beberapa ciri penting dalam kehidupan rumahtangga baginda SAW, antaranya :
- Mawaddah dan Rahmah:
Rasulullah SAW adalah insan terbaik dalam pergaulan, kasih sayang dan rahmah ke atas isterinya.”
خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
“Sebaik-baik kamu ialah orang berkelakuan baik ke atas isterinya dan saya adalah yang paling baik di kalangan kamu terhadap isterinya”.
- Pergaulan yang baik (makruf):
Pergaulan Rasulullah saw dengan isterinya disulami dengan keadilan, makruf dan taqwa.
.وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan mereka itu (para wanita) mempunyai hak seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang patut” (Surah Al-Baqaroh ayat 228)
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan bergaullah dengan mereka menurut cara yang patut”. (Surah An-Nisa’ ayat 19)
Sifat ini semestinya dipelihara sekalipun bahtera rumahtangga ini akan berpisah, ianya mesti diakhiri dengan jalan terbaik juga.
“Maka kemarilah agar ku berikan kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.” ( maksud Surah al-Ahzab ayat 28)
“Maka apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik.” (Maksud Surah At-Tolaq ayat 2)
- Kerjasama kedua-dua suami isteri untuk sebarkan dakwah
Ketika Nabi SAW diutus menjadi Rasul, Sayyidah Khadijah adalah orang pertama yg beriman dengan Allah dan RasulNya. Khadijah membenarkan apa yg dibawa oleh Nabi daripada Tuhannya. Dia telah membantu meringankan urusannya, mententeramkannya di saat baginda menerima penghinaan dan berbagai kerenah jahat puak musyrikin
Quraisy. Rasulullah SAW amat menggalakkan kedua-dua suami isteri bekerjasama untuk ketaatan. Sabda baginda yang bermaksud,
“ Allah merahmati seorang lelaki (suami) yang bangun malam, lalu bersolat dan mengejutkan isterinya, bila si isteri enggan bangun, maka direnjiskan air ke mukanya. Allah merahmati seorang wanita (isteri) yang bangun malam, lalu bersolat dan mengejutkan si suaminya, bila si suami enggan, maka direnjiskan air ke mukanya pula “
- Memelihara rahsia rumahtangga
Rasulullah saw menggesa agar kedua suami isteri menjaga rahsia satu sama lain (rahsia tetap rahsia) dan menegaskan ia (buka rahsia) dari amalan syaitan.
Daripada Asma’ bt Yazid; Bahawa ketika dia bersama para lelaki dan wanita berkumpul dalam majlis Nabi, lalu baginda bersabda: Boleh jadi seorang lelaki akan buka rahsia apa yang dilakukan kepada si isterinya, begitu pula sebaliknya”. Semua berdiam diri, lalu saya berkata: “Demi Allah wahai Rasulullah sesungguhnya yg demikian itu benar-benar berlaku”.
Lalu Nabi bersabda: “Jangan kamu lakukan sedemikian itu! Perumpamaan kelakuan demikian samalah seperti seekor syaitan jantan bertemu dgn yg betina di jalanan, lalu dia berkelakuan tidak senonoh, sedang khalayak ramai menyaksikan perbuatan tersebut”. (Riwayat Ahmad)
Semoga kita semua berusaha mengembalikan rumahtangga kita menjadi lebih Islamik dengan syiar baru ‘Rumahtanggaku berdasarkan manhaj Rumahtangga Nabi SAW’ pada kasih sayang, tolong menolong, ithaar, taat, sebaran dakwah, bersifat rahmah, hormat kpd jiran, memudahkan tanpa menyulitkan dlm hal menentukan maskahwin, sabar dalam menghadapi ujian dan sebagainya.
(Rujukan : Bingkisan Tarbawi, Ust Tajul Arifin Che Zakaria)
Wanita IKRAM Johor