Mengingati Azab Neraka

Suatu ketika Khalifah Harun Ar-Rasyid melihat seorang kanak-kanak kecil sedang menangis di hadapan unggun api, lantas beliau bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai anak?”

Lantas kanak-kanak itu menjawab: “Aku takutkan api neraka”. Khalifah Harun Ar Rasyid pun memujuk anak itu dengan mengatakan “Anak kecil sepertimu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka”.

Sebaliknya kanak-kanak itu menjawab: “Aku melihat ketika orang menyalakan unggun api, mereka akan memasukkan ranting-ranting kecil dahulu. Setelah ranting kecil terbakar, mereka memasukkan ranting-ranting yang besar pula. Aku takut hal yang sama berlaku di neraka kelak. Aku umpama ranting yang kecil?” Mendengar jawapan itu, Khalifah turut menangis.

Keupayaan kanak-kanak kecil itu menggambarkan dirinya di alam akhirat telah memberi kesan yang besar kepada dirinya sehingga dia merasa takut dan menangis walaupun dia belum benar-benar berada di alam yang digambarkannya itu. Sudah pasti dengan berbuat demikian akan mendorong untuk dia menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.

Orang yang beringat dengan azab neraka sehingga merasa takut dan menangis memikirkankannya adalah petanda bahawa Allah SWT sedang membimbing dan memelihara diri kita daripada melakukan dosa kepadaNya.

Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadis baginda;

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول
أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ” فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى لَوْ كَانَ فِي مَقَامِي هَذَا سَمِعَهُ أَهْلُ السُّوقِ وَحَتَّى سَقَطَتْ خَمِيصَةٌ كَانَتْ عَلَيْهِ عِنْدَ رِجْلَيْهِ

Daripada Nu’man bin Basyir RA katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan berkata: “Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka, Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka.” Sentiasalah baginda mengulanginya sehingga seandainya baginda berada di kedudukan aku ini, orang-orang yang berada di (hujung) pasar akan mendengarnya. (baginda mengulangi ungkapan tersebut) sehingga kain baginda yang berada di atas bahu terjatuh ke kaki baginda tanpa disedari.” (HR Tirmizi No: 5687) Status: Hadis Sahih

Neraka adalah suatu tempat yang menggerunkan. Kawasannya bersangatan dalam. Azab yang disediakan di dalamnya berbentuk kepanasan yang melampau dan membakar. Cemeti-cemetinya diperbuatan daripada besi.

Nabi SAW sering memberikan peringatan tentang neraka. Bersungguhnya baginda dalam memberi peringatan itu sehingga baginda meninggikan suara dan mengulang beberapa kali.

Kita diperintahkan untuk sentiasa mengingati hari pembalasan. Seperti pesan saidina Umar:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ النَّارِ فَإِنَّ حَرَّهَا شَدِيدٌ وَإِنَّ قَعْرَهَا بَعِيدٌ وَإِنَّ مَقَامِعَهَا حَدِيدٌ

“Perbanyakkanlah mengingati neraka. Sesungguhnya kepanasannya bersangatan, lantainya amat dalam dan cemeti-cemetinya adalah besi.”

Dalam berdakwah, hendaklah digabungkan unsur-unsur memberi khabar gembira tentang syurga dan khabar ancaman dengan neraka. Agar ada dorongan melakukan kebaikan kerana mengharapkan syurga dan berusaha menjauhi dosa kerana gerunkan azab neraka.

SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian