Nasihati Wanita Dengan Baik
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ
Daripada Abi Hurairah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Nasihatilah para wanita dengan baik kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para Wanita (dengan baik). (HR Bukhari No: 3038) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
- Kaum lelaki dituntut untuk sentiasa berlaku baik, lemah-lembut serta sabar dengan wanita dalam apa jua keadaan.
- Wanita adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa untuk kaum lelaki yang perlu dijaga akan kehormatannya dan memandunya ke arah mentaati Allah SWT dan melaksanakan segala syariat-Nya.
- Dalam mewujudkan kebahagiaan berumahtangga, para suami perlu sentiasa bersabar, redha, berlapang dada dan berlemah lembut membimbing serta menasihati isteri dan ahli keluarga yang lain.
- Terimalah seadanya pasangan anda, belajarlah erti ikhlas dan pemaaf serta berusahalah melayani isteri dan anak-anak dengan baik ke arah mewujudkan keharmonian keluarga.
- Elakkan perbalahan dengan pasangan yang mungkin menatijahkan penceraian. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW sepertimana hadis daripada Ibn Umar RA :
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” (HR Abu Daud No 2178)
Walaupun penceraian itu jalan terakhir yang diharuskan, namun berusahalah agar ia tidak terjadi.
Negara Rahmah Ummah Sejahtera