KEHIDUPAN Nabi Muhammad s.a.w. sangat sederhana. Pada suatu hari Rasulullah saw sedang berehat di rumahnya sambil berbaring di atas tikar yang diperbuat daripada daun-daun tamar (kurma). Tiba-tiba, seorang sahabatnya yang bernama Ibn Mas`ud datang menziarahi Rasulullah saw. Oleh kerana pada masa itu Rasulullah tidak memakai baju, maka Ibn Mas`ud melihat bekas anyaman tikar itu melekat di tubuh Rasulullah saw. Melihat keadaan yang demikian, Ibn Mas`ud bersedih dan menitiskan air mata. Beliau berkata di dalam hatinya: Tidak patut seorang kekasih Allah, seorang pemimpin negara dan seorang panglima tentera hidup dengan cara demikian.

Ibn Mas`ud pun berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah saya membawakan tilam ke sini untuk Tuan?”
Rasulullah menjawab, “Wahai Ibn Mas`ud, apalah arti kesenangan hidup di dunia ini bagiku. “Hidup di dunia ini bagiku bagaikan seorang musafir dalam perjalanan jauh, lalu dia singgah sebentar berteduh di bawah pohon kayu yang rindang untuk berehat. Kemudian dia harus berangkat meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanan yang sangat jauh dan tidak berpenghujung.”

Dalam suatu peristiwa lain pula, ialah ketika Rasulullah menikahkan puterinya, Fatimah dengan Ali bin Abi Talib. Pada masa itu Rasulullah menjemput Abu Bakar, Umar dan Usamah untuk membawakan ‘persiapan’ Fatimah. Mereka tertanya-tanya apakah yang disiapkan oleh Rasulullah untuk puteri tercinta dan menantunya yang tersayang itu? Ternyata, Rasulullah hanya menyiapkan gandum yang telah digiling, kulit binatang yang disamak, cerek dan sebiji pinggan. Ketika mengetahui hal itu, Abu Bakar menangis.

“Ya, Rasulullah, hanya inikah persiapan untuk Fatimah?” tanya Abu Bakar tersedu-sedan.”Ini sudah cukup bagi orang yang berada di dunia,” jawab Rasulullah menenangkannya. Kemudian Fatimah keluar dari rumah dengan memakai pakaian pengantin yang cukup bagus, tetapi mempunyai 12 tampalan! Tiada perhiasan yang berharga mahal.

Setelah bernikah, Fatimah sentiasa menggiling gandum, membaca al-Quran, menafsirkan kitab suci dengan hatinya, dan menangis. Itulah sebahagian daripada kemuliaan diri Fatimah. Walimah pernikahan puteri Rasulullah itu memang sederhana karena kesederhanaan adalah sebahagian kehidupan Rasulullah sendiri. Sebenarnya, Rasulullah mampu membuat walimah besar-besaran untuk pernikahan puterinya itu dengan meminta bantuan para sahabat yang kaya. Namun, sebagai manusia agung, `kemegahan’ tidaklah bermakna kebendaan. Rasulullah ingin menunjukkan kesederhanaan dan sifat qanaah (puas hati), yang merupakan kekayaan yang hakiki. Dan bersikap iffah dari segala kekurangan untuk tidak meminta minta.

Rasulullah pernah bersabda: “Kekayaan yang hakiki adalah kekayaan iman dan dicerminkan dalam sifat qanaah.”