Sahabat Dunia dan Akhirat
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (QS. Az-Zukhruf: 67)
At-Tabari menjelaskan,
المتخالون يوم القيامة على معاصي الله في الدنيا, بعضهم لبعض عدوّ, يتبرأ بعضهم من بعض, إلا الذين كانوا تخالّوا فيها على تقوى الله.
“Orang-orang yang saling bersahabat di atas maksiat kepada Allah di dunia, di hari kiamat akan saling bermusuhan satu sama lain dan saling berlepas diri, kecuali mereka yang saling bersahabat di atas takwa kepada Allah.” (Lihat Tafsir At-Tabari)
“Orang-orang yang saling berteman dan saling bersahabat di dunia hanya atas dasar urusan dunia dan permainannya sahaja kelak pada hari kiamat akan saling membenci satu sama lain. Kecuali orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang senantiasa taat dan menjalankan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya. Mereka saling mencintai kerana Allah semata, merekalah orang-orang yang setia satu sama lain dan sahabat sejati.”
Ayat ini turun untuk Umayyah bin Khalf al-Jumahi dan Uqbah bin Abi Mu’ith dua orang yang saling berteman karib. Mereka bersepakat dalam satu misi untuk menyakiti/melukai Nabi SAW, namun mereka berdua terbunuh dalam perang Badar.
Bertemu sahabat barangkali perkara mudah akan tetapi mencari sahabat dunia dan akhirat memerlukan usaha. Sahabat yang ada di saat senang mahupun susah, yang sentiasa menasihat dan mengingatkan. Moga kita mampu menjadi seorang sahabat sejati dan bertemu dengan sahabat sejati.