Siapa yang tidak suka berhias? Semua suka terutama wanita.
Siapa yang suka perhiasan? Semua suka terutama wanita.
Kenapa wanita? Kerana mereka sebaik-baik perhiasan di dunia ini sekiranya mereka solehah !
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim no :715)
Nah, bagaimana untuk menjadi sebaik-baik perhiasan?
Daripada Abdurrahman bin Auf berkata; Rasulullah SAW bersabda :
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
“Apabila seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; ‘Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu inginkan’.” (HR Ahmad No: 1573)
Daripada hadith di atas, wanita solehah mempunyai ciri-ciri berikut:
- Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna
- Berpuasa wajib di bulan Ramadhan
- Menjaga kemaluan (menjauhi berzina)
- Taat dan berbakti kepada suami.
Kebahagiaan seorang lelaki (suami) selepas bertaqwa kepada Allah adalah memiliki isteri yang solehah. Apabila memandang, ia menenangkan, bila berpergian dia menjaga maruah dirinya.
Sabda Nabi SAW:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”
(Riwayat Abu Daud no : 1664)
Wanita yang solehah tidak mudah terpesona dengan godaan dunia.
Agama dan akhlak yang mulia menjadi kompas dalam hidupnya untuk menjaga keutuhan dan kebahagiaan sebuah kehidupan berkeluarga.
Apatah lagi, wanita yang solehah di akhirat nanti diberi kelebihan untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendakinya sebagaimana hadith di atas.
Bukankah janji Allah itu pasti?
Bahkan. Ya Allah, kami menyakininya.
Wanita IKRAM Johor