Sifat Rahmah
Kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah yang ditekankan dalam alQuran. Rahmah merupakan perkataan Arab yang dihasilkan daripada kata dasar ‘rahima’ iaitu bermaksud rasa belas dan kasih sayang. Pengulangan perkataan rahmah berkali-kali dalam al-Quran dengan pelbagai bentuk (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) menunjukkan betapa Islam sangat mementingkan konsep rahmah dalam ajarannya.
Kepentingan sifat rahmah ini didahulukan dengan pengakuan Allah SWT terhadap sifat-Nya yang Maha Penyayang. Allah SWT berfirman dalam surah al-An’aam ayat 133:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain”.
Perutusan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam (Rahmatan Lil ‘Alamin) telah dibawa melalui Baginda
Rasulullah SAW kepada umatnya. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa ayat 107:
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat
bagi sekalian alam”.
Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa oleh Baginda SAW ini merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, berlemah lembut, perdamaian dan harmoni. Konsep rahmah ini telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan Baginda dengan menunjukkan sikap belas kasihan terhadap kanak-kanak, orang tua, kaum wanita, anak-anak yatim, hamba sahaya, tawanan perang dan juga makhluk lain termasuk binatang dan alam sekitar. Dalam aspek kepimpinan pula, Baginda telah mempamerkan sikap rahmah sebagai seorang suami, sebagai bapa dan sebagai ketua dan pemimpin kepada masyarakat Islam.
Bahkan kepimpinan Baginda SAW turut menzahirkan sifat toleransi yang amat tinggi kepada masyarakat bukan Muslim. Perkara ini dijelaskan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.a, bermaksud:
“Siapa yang membunuh seorang kafir muaahad tidak akan mencium bau syurga, sedang baunya itu tercium sejauh perjalanan empat puluh tahun”. (Riwayat Bukhari)
Demikianlah luasnya konsep rahmah yang dibawa oleh ajaran Islam melalui al-Quran dan Hadith. Ianya bermula dengan sikap toleransi dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah ke aspek kehidupan yang lebih luas. Umat Islam haruslah mempunyai kefahaman yang tepat dalam memahami konsep rahmah dalam erti kata yang sebenar.