Ramai yang telah berkongsi pengalaman masing-masing yang tersendiri dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar PhD. Sememangnya laluan setiap pelajar adalah berlainan dan boleh berubah mengikut keadaan semasa. Akan tetapi setiap sudut kekurangan boleh di atasi dengan persediaan yang cukup dan perlaksanaan strategi yang tepat.
Ketika mana sambungan pengkhususan kepakaran saya yang seterusnya telah ditetapkan terutamanya melibatkan bidang kajian, saya perlu meletakkan beberapa strategi tindakan yang seterusnya.
Ini kerana bidang kajian yang akan saya jalankan melibatkan aspek yang kesemuanya baru. Pengalaman penyelidikan di peringkat prasiswazah tempatan sememangnya tidak mencukupi. Setelah menilai kekuatan dan kekurangan yang ada, saya menetapkan bahawa fasa penyelidikan sarjana harus bertemakan penyesuaian yang menyediakan landasan untuk lanjutan penyelidikan PhD. Risikonya perlu di minimakan dengan saya memilih menyambung pengajian sarjana di peringkat tempatan tatkala mana ramai rakan-rakan lain berangkat ke luar negara.
Semasa di peringkat sarjana, pilihan kajian yang dilakukan adalah dalam topik besar bidang yang dirancang akan di lakukan semasa PhD kemudiannya. Secara ringkasnya ia melibatkan kajian kaedah sintesis serta penyediaan bahan kimia fotosensitif untuk tujuan perawatan kanser berdasarkan kaedah terapi fotodinamik. Bidangnya memang tiada dalam radar khusus kajian penyelia sarjana saya dan banyak melibatkan pembelajaran penerokaan kendiri sambil di tunjuk ajar oleh penyelia. Kemudahan hubungan email digunakan bagi menghubungi penyelidik luar negara yang mana kertas kerjanya menjadi rujukan penyelidikan. Saya masih ingat, betapa gembiranya ketika itu apabila melihat hasil awal kajian yang berjaya di sintesiskan menyamai rujukan kertas kerja tersebut! kemungkinan itulah pertama kali bahan kimia fotosensitif bewarna ungu yang di namakan porfirin itu telah di sintesis di Malaysia kerana sebelumnya penyelidik tempatan hanya membeli nya secara terus pada kos tertentu.
Strategi seterusnya adalah mengambil kira pemilihan penyelia dan tempat lanjutan pengajian PhD, selepas bidang kajian telah dikenalpasti. Pada masa tersebut, terdapat polisi di mana penerima tajaan latihan akademik luar negara mempunyai pilihan terhad untuk menyambung pengajian di UK mengikut destinasi kebiasaan rakyat Malaysia. Berikutan dengan itu, pilihan negara yang terlintas adalah USA, Germany dan France. Oleh kerana norma sistem pengajian PhD USA adalah selama 4 tahun, maka salah satu negara di Eropah iaitu German menjadi keutamaan seterusnya di mana saya perlu meneliti penyelia yang berkepakaran sama yang berada di negara tersebut.
Bagaimana mahu memilih penyelia yang bersesuaian terutamanya jika kita adalah pelajar luar negara? Dalam banyak kes, rekomendasi daripada mana-mana penyelidik tempatan yang telah sedia ada mempunyai jalinan penyelidikan luar negara akan membantu. Jika tidak, asas pertimbangannya adalah latar rekod penyelia seperti pengalaman penyeliaan pelajar dan penerbitan. Akan tetapi sudah tentunya mana-mana penyelia penyelidikan tidak akan mampu membantu secara perincian melibatkan aktiviti hari-ke-hari.
Justeru, adalah penting untuk meneliti ahli kumpulan penyelidikan yang sedia ada di bawah penyeliaan yang sama. Saya telah membuat beberapa jangkaan hadapan berkenaan kehidupan seorang pelajar PhD. Pada masa itu, tiada banyak tips dan panduan bertulis yang diberikan sepertimana sekarang. Antara strateginya adalah saya perlu mempunyai seorang ‘buddy’ yang boleh berkongsi pandangan secara berterusan semasa di makmal dan mendapat tunjuk ajar perincian. Daripada senarai ahli kumpulan penyelidikan bakal penyelia PhD yang dipilih, saya telah menyasarkan bantuan serta panduan akan diperolehi daripada seorang pelajar PhD yang bernama Yasser, yang berasal daripada Egypt. Sememangnya Dr. Yasser yang saya anggap sebagai abang besar banyak membantu dan kami telah berkongsi ruang kerja dan makmal yang sama. Walaubagaimanapun semasa dalam pengajian, banyak perkongsian kajian juga di perolehi daripada teman makmal daripada negara lain. Namun sekurang kurangnya saya telah berjaya menguruskan risiko bagi memudahkan laluan kejayaan melalui persediaan awal tersebut.
Selain itu, kehadiran ahli post-doktoral dalam kumpulan penyelidikan akan banyak membantu terutamanya dalam panduan dan semakan penulisan kertas kerja dan tesis. Sepanjang penyelidikan, saya mempunyai akses untuk mendapatkan mini-penyeliaan mereka jika diperlukan. Pada masa yang sama, fasiliti sokongan penyelidikan biasanya menjadi faktor sekunder kerana hampir semua universiti bertujahkan penyelidikan di luar negara mempunyai kemudahan penyelidikan yang mencukupi.
Selang beberapa ketika berinteraksi melalui email dengan bakal penyelia saya, beliau memaklumkan akan berpindah ke Dublin daripada Berlin. Ianya berlaku tatkala mana saya telah selesai mengkaji prospektif kehidupan di German, bersedia mempelajari sedikit bahasanya dan mengenalpasti hubungan lokaliti yang boleh diperolehi dengan rakyat Malaysia yang lain di sana. Tentunya negara Ireland tidak pernah termasuk dalam perancangan saya, mahupun keutamaan destinasi pengajian pasca siswazah mana-mana rakyat Malaysia ketika itu. Mengikut rekod yang diketahui, saya merupakan pelajar PhD Malaysia kedua yang menyambung pengajian di sana. Ireland sememangnya terkenal sebagai destinasi pendidikan prasiswazah bagi bidang perubatan termasuk yang ditaja oleh institusi dari Malaysia……bersambung