Berkesempatan berkongsi cuplikan 3 buah buku ini bersama pelajar baru di jabatan semasa program FYE. Buku pertama menterjemahkan aspirasi dan binabudaya asli UTM, sesuai ditelusuri untuk generasi baru; jejak ke belakang mencari makna bagi dibawa ke hadapan. Buku kedua membahaskan sindrom ‘biri-biri gemuk’; tentunya mampu memberikan pulangan lumayan. Akan tetapi ianya persis cemerlang setelah melalui program ternakan yang diatur, tiada terjemahan usaha sendiri langkau aturan proses tersedia. Gambaran ini disurahkan sebagai Kal An’am, Balhum Adhol. Buku ketiga mengungkap cabaran segar baru untuk pelajar yang melangkaui penerapan kemahiran insaniyyah yang sedia ada. 4 gesaan tersebut merangkumi persediaan sebagai warganegara, hidup dalam kepelbagaian, bina diri secocok dunia global dan meluaskan horizon ilmu mencapah kepelbagaian. Selain itu, juga ditekankan kemahiran insaniyyah-etika/moral telah dijajarkan bersekali dengan item yang lain hanyalah bertujuan memudahkan proses pengukuran, pandang alam yang sewajibnya hadir adalah etika bersifat inklusif kepada semua item yang lain. Dikongsikan juga faktor Ps yang popular untuk urus diri; seharusnya dibina karakter positif (Personality) yang disulamkan dengan minat (Passion). Minat adalah antara faktor emosi yang bolehubah dan perlu diuruskan dengan perancangan (Plan). Perancangan yang baik terutamanya dalam membina ekosistem-biah soleh boleh menyumbang kepada istiqamah kecemerlangan (Persistence). Adakalanya tidaklah semua sasaran dicapai, seraya pentingnya bersabar (Patience). Ingatan kepada keluarga (Parents) juga jangan dilupa; dan susulilah semuanya dengan doa (Pray-er). Ilmu disulamkan pula dengan pengalaman diri yang bermula juga di sini seperti mereka……
Dr. Mohd Bakri Bakar

“Idealogue, Diplomat, Educator, Advocator of Science”