“Berkat dan Sejahtera, Inilah Maqasid Penyelidikan’

1. Tulisan ini memberikan penilaian terhadap penyelidikan yang berkat dan sejahtera; melalui suluhan makna ilmu yang bermanfaat.

2. Secara jelas, mereka yang terlibat dalam dunia pengajaran, pembelajaran serta pendidikan pastinya terangkum dalam sudut makna memberikan inti ilmu yang tentunya dimanfaatkan oleh penerima, yakni pelajar.

3. Bagaimana pula dengan penyelidikan? Diakui, makna ‘ilmu yang bermanfaat’ dalam dimensi penyelidikan belum tuntas diperincikan. Walhasil dengan pemahaman berkaitan, akan datangnya kesedaran terhadap erti keberkatan dan kesejahteraan melalui tujuan penyelidikan.

4. Penyelidikan merupakan satu proses merungkai isu dan pemasalahan menerusi penemuan dan kajian penyelesaian berasaskan ilmu. Pada peringkat awal, perolehan ilmu tersebut biasanya diterjemahkan melalui medium penulisan. Dalam konteks ini, apakah makna ilmu yang bermanfaat?

5. Sebelum pada ini, saya ditemukan dengan satu lorongan baharu melalui ingatan daripada seorang Profesor (Allahyarham).

Ujar beliau:

“Perlu buat banyak amal semasa kita sihat, di mana penerbitan artikel yang bagus juga merupakan amal yang soleh. Dan apabila kita meninggal, sitasi penerbitan tersebut merupakan ilmu yang dimanfaatkan”

6. Kata-kata ini membuka satu ufuk kesedaran, bahawa sitasi ataupun rujukan terhadap penulisan kita (daripada hasil penyelidikan) turut membawa makna ilmu berkenaan telah dimanfaatkan. Justeru, impak bukannya sekadar hasilan cerapan nombor dalam bentuk faktor berimpak atapun indeks-H.

7. Malah, adalah penting untuk kita menyusurnya melalui sisi keberkatan dan kesejahteraan.

Ini kerana, ada satu hadis Rasulullah SAW:

“Apabila mati seseorang anak Adam itu, maka akan terhenti segala amalannya kecuali 3 perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat, dan doa anak – anak yang soleh”

8. Dalam konteks penyelidikan juga, terdapat satu lagi perkara yang tidak ternampak ganjaran materialnya yang besar, tetapi memenuhi makna ilmu yang bermanfaat. Hal yang dimaksudkan adalah usaha atas ilmu dengan memberikan pandangan, rumusan dan penilaian terhadap penulisan hasil penyelidikan keserakanan.

9. Masakan tidak, ilmu yang dikemukakan dalam bentuk reviu tersebut pasti bermanfaat dalam membaiki dan meningkatkan kualiti hasil penulisan tersebut.

10. Barangkali tidak ramai berintensif dalam melakukannya kerana sekadar melihat manfaat terhadap diri, yang tidak akan seberapa. Namun, dengan meluaskan horizon makna ilmu yang bermanfaat, pasti tiada yang sia-sia.

11. Selain itu, satu hal yang jelas bermanfaat adalah bilamana ilmu dijana hasil penyelidikan dapat memberikan solusi kepada masyarakat sama ada melalui perkhidmatan ataupun produk. Konsep sebegini dikenali sebagai penyelidikan translasional bagi memenuhi keperluan komuniti mahupun industri.

12. Misalnya bermula daripada penyelidikan sains asas, manfaat ilmu yang dijana seterusnya diaplikasikan bagi menyelesaikan masalah sebenar melalui inovasi teknologi serta pendekatan baharu.

Dan pada akhirnya:

Berkat di sini; sejahtera di sana. Inilah maqasid penyelidikan.

Semoga diberikan kekuatan amalan, dan disuluhkan erti kebenaran untuk mencapai maqasid tujuan.

Ameen.