Lengkap sudah 5 episod program Wacana Akademia anjuran AKEPT bersiaran di RTM1. Beberapa pandangan konstruktif boleh di notakan sebagai mauduk perbincangan yang mampu dibahaskan dengan lanjut.
Universiti adalah bersifat rencam berdinamika, seraya capahan perbincangannya akan cukup meluas. Sehubungan dengan itu, pemilihan tema wacana tidak seharusnya bebas di ungkap dalam sudut susah kawal seupama siri 1-3, tetapi perlu khususiyyah berfokus sepertimana siri 4-5. Ini membolehkan perjalanan perbincangan dapat diatur dengan setiap lapisan diangkat satu persatu dalam sela waktu terhad satu jam. Sebagai contohnya, wacana berkenaan pembangunan bakat sukar diperdalamkan kerana cakupannya yang meluas, manakala wacana TVET tampak senang diaturlurus kerana kisaran perbincangan yang bertumpu dapat di lakukan.
Setiap wacana akan menjemput tiga panel yang ikonik dalam manajemen universiti. Berikutan mereka mengendong ilmu dan mempunyai kepakaran yang sedia teraku, setiap ahli panel pasti mempunyai hujah mutlak yang logik dibincanglanjutkan. Namun, kekangan masa telah membantutkan proses penghujahan dengan penyalingan hujah kerap berlaku. Norma universiti sememangnya begitu, tetapi akan canggung di khalayak media kerana kesuntukan masa akan mengagalkan proses keharmonian setiap utaran yang diberikan. Penyertaan maksimum dua panel bagi setiap wacana wajar dipertimbangkan penganjur bagi keselesaan akomodasi setiap hujahan ilmu.
Beberapa isu telah diwacanakan selayaknya terutamanya dalam pembinaan strategi dan perlaksanaan inisiatif model baru pengajian tinggi rangkuman universiti dan institut pengajian seperti politeknik. Wacana dimulakan dengan fokus dipaksikan kepada PPP(PT) yang segar diluncurkan dengan penumpuan kepada 10 lonjakan bagi memberikan nilai baru kepada pacuan pembangunan negara. Antara yang tuntas dibincangkan adalah kesohoran global institusi dan akademianya. Satu nota penting yang diangkat adalah penerapan paradigma kepimpinan akademik di mana akademia harus berfokus kepada memimpin ilmu sehingga teraku secara antarabangsa. Keilmuan ini dapat diterjemahkan kepada manfaat rentas sempadan yang akhirnya menatijahkan sumbangan gah negara dan menjadi katalis pembangunan. Oleh itu, sudut kepimpinan ini perlu diiktirafkan selain norma kepimpinan pengurusan institusi yang sedia ada.
Seterusnya diwacanakan berkenaan autonomi dan leluasan yang diberikan oleh kerajaan. Nota perbincangan diperhatikan kepada kesediaan institusi sebagai badan berkanun untuk menerima sudut autonomi urustadbir tertentu seperti perlantikan pengurusan serta akademia atau pengambilan pelajar sehinggalah kepada kemandirian kewangan. Pemegangan kuasa tertentu oleh Lembaga Pengarah Universiti mengurangkan lapisan birokrasi dan menyegerakan keputusan. Model penjanaan kewangan institusi yang pelbagai pula seharusnya dieksplorasikan bagi mengelakkan pergantungan total kepada bajet kerajaan. Menjadi cabaran bagi setiap institusi meneroka peluang baru sepertimana sistem endowmen yang setakat ini belum dapat dibudayakan di dalam ekosistem negara.
Wacana berikutnya menempatkan topik kepimpinan dan bakat pengajian tinggi. Kesesuaian kepimpinan dengan variasi institusi yang berbeza sewajarnya dapat dijalinkan berikutan tujuan penubuhan setiap institusi yang unik dan berbeza. Selain itu, pelan transisi dan penggantian kepimpinan di setiap institusi perlu diperkasakan melalui bimbingan berterusan dan modul pembangunan tertentu. Ini bagi memastikan pemupukan bakat terus lestari dan jurang generasi dapat dijambatkan. Di institusi pengajian tinggi, pembinaan bakat pelajar juga wajib diutamakan dan garapan inisiatif perlu direncanakan selaras dengan makna holistik, seimbang dan entrepreneurial.
PPP(PT) telah menggariskan lonjakan pengajian TVET yang juga telah diwacanakan. Khilaf persepsi terhadap TVET sebagai pengajian kelas kedua wajar dieliminasikan kerana tujuan TVET adalah membentuk set kemahiran yang berbeza dengan program akademik perdana. Graduan TVET seharusnya dapat mengisi lompongan keperluan tenaga kerja mahir negara serta membuka industri baru negara berasaskan inovasi kemahiran. Langkah terdekat yang boleh dilakukan adalah memadukan universiti dengan politeknik; sebagai contoh cadangan adalah penemuan penyelidikan universiti yang melalui proses pengkomersilan melalui fasa dan laluan bantuan TVET di politeknik.
Bahagian akhir wacana bertemakan pendemokrasian pendidikan dengan fokus diberikan kepada pendidikan untuk semua dan pendidikan sepanjang hayat. Antara model pengajian yang boleh ditawarkan adalah melibatkan gabungan kaedah pengajaran dan pembelajaran bersemuka serta dibantu kaedah pembelajaran maya menggunakan teknologi dan gajet. Konsep pendidikan ini akan membuka laluan peningkatan ilmu pelbagai sektor masyarakat; bersyarat mendapat sokongan daripada majikan, akses kepada fasiliti institusi yang sesuai, kepakaran akademia yang cocok dengan mod pelajar dan skema pengajian yang luwes dengan kondisi pengajian, tetapi kekal kualitinya.
Sudah tentu lima pertemuan wacana tidak dapat menyelongkar dan mendalami maksud holistik institusi pengajian tinggi. Jika wacana yang sama akan dilangsungkan dalam sela mendatang, sukacita untuk dicadangkan untuk diangkatkan tema humaniversity, tema governant muda pengajian tinggi dan tema khusus pembinaan bakat pelajar
-1 Jun 2015
