Ketika saya mengkhususkan topik ‘Lonjakan’ dalam penulisan Akademia Futuristik, antara dua perkara asas yang dimuatkan ialah; i- lonjakan di atas papan yang rapuh, ii-loncatan ke arah lonjakan.

Ketika ini, para pelajar sedang dan akan mendaftar pengajian mereka di universiti tempatan. Antara perkara yang menarik perhatian adalah komposisi pendaftaran dan hisab bilangan pelajar Prasiswazah (UG) dan Pascasiswazah (PG). Menjadi perkara umum diketahui bahawa model universiti penyelidikan di Malaysia menyasarkan nisbah UG dan PG adalah pada kadar 50:50 (Berita Bernama, 6 Mei 2014). Bagi mencapai hasrat sedemikian, universiti penyelidikan tersebut telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik terutamanya untuk meningkatkan bilangan modal insan pascasiswazah yang dapat menyumbang kepada manfaat negara menerusi inovasi dan output penyelidikan yang ekonomik.

Berikut disertakan analisa perbandingan pelajar UG dan PG bagi universiti terkemuka dunia yang sering menjadi bahan contohan tempatan. Data yang diberikan adalah berdasarkan statistik pada tahun 2014.

Universiti Oxford (53:47)
UG: 11, 703
PG: 10, 173

Universiti Cambridge (61:39)
UG: 11, 786
PG: 7, 411

Imperial College London (59:41)
UG: 8, 608
PG: 5, 959

Universiti Harvard (32:68)
UG: 6, 700
PG: 14, 500 (termasuk untuk profesional)

Universiti Stanford (44:56)
UG: 6, 980
PG: 8, 897
(Data adalah berbeza mengikut bidang, contohnya untuk biologi UG:193/PG:173 dan kimia UG:38/PG:236)

Universiti Princeton (66:34)
UG: 5, 244
PG: 2, 666

Universiti Yale (63:37)
UG: 5, 453
PG: 2, 926

MIT (40:60)
UG: 4, 512
PG: 6, 807

National University Singapore (73:27)
UG: 26, 797
PG: 9, 997

Universiti Tokyo (53:47)
UG: 14, 097
PG: 12, 465

Universiti Melbourne (60:40)
UG: 22, 524
PG: 15, 178

Daripada data tersebut, terdapat perbezaan yang ketara di antara model universiti di UK iaitu Oxbridge berbanding universiti di USA seperti MIT, Harvard dan Stanford. Namun begitu, dua lagi universiti di USA iaitu Princeton dan Yale pula menunjukkan unjuran berbeza. Cukup menarik jika dilihat model negara asia seperti NUS yang mempunyai basis UG yang kuat. Selain itu, universiti Tokyo dan Melbourne juga mempunyai bilangan UG yang mengatasi bilangan PG.

Universiti seperti MIT, Harvard dan Stanford adalah berjenama tinggi dengan keberadaan tokoh ternama, diketahui mempunyai fasiliti unggul dengan biaya kewangan yang mapan. Justeru tidak sukar untuk menarik pelajar PG dari segenap negara walaupun sumber penyaluran melalui pelajar UG sendiri adalah kurang. Tidak hairan lah komposisi tersebut meningkatkan output universiti dan meletakkan mereka selayaknya di tempat teratas dalam ranking yang mengira ngira nilai penyelidikan yang tentunya berasas kekuatan enjin bersumber PG. Harus juga dicermati bahawasanya pelbagai kriteria penilaian ranking adalah berkait dekat; contohnya output penyelidikan dan impak kepada pengajaran serta keakuan global.

Manakala, universiti seperti Oxford dan Cambridge juga mempunyai jenama unggul tetapi melaksanakan model berlainan dengan penekanan kepada komposisi teras UG tidak dikesampingkan. Setakat ini, unjuran tersebut nampaknya akan diteruskan tanpa perubahan.

Jika begitu, tampaknya campuran dua model dilaksanakan di Malaysia dengan pengasingan kepada ‘universiti penyelidikan’ yang ke arah bercitra USA walaupun sasaran komposisi masih 50:50 dan ‘universiti fokus penyelidikan’ yang bersendi UK dan Asia.

Berbalik kepada premis soalan asal; adakah perubahan komposisi 50:50 pelajar di universiti penyelidikan di laksanakan dengan asas yang kuat dengan lonjakan berlaku di atas papan yang kukuh sifatnya? Soalan kedua yang di utarakan adalah secepat mana komposisi perubahan tersebut dilakukan- adakah meloncat berdikit atau terus melonjak jauh bagi menjimatkan segalanya?

Dua soalan tersebut akan ditinggalkan dan akan terjawab sendirinya melalui analisis data yang akan diperolehi apabila polisi yang dinyatakan mula memberikan kesan sama ada jangka pendek atau langkau panjang. Yang pastinya, ianya cabaran yang perlu di hadap oleh setiap akademia bagi memastikan keberjayaan untuk memposisikan institusi pendidikan tinggi negara yang responsif dengan keadaan semasa untuk kebaikan sejagat.