Landskap pendidikan tinggi negara seringkali mendapat perhatian sekurang-kurangnya dua kali setahun. Kedua- duanya menarik arus perbincangan berikutan pengumuman ranking tahunan universiti sedunia oleh dua pihak berbeza; QS dan THE. Penanda aras universiti yang lain seperti metriks UNESCO, ARWA Shanghai, UI Green Metric dan seumpamanya jarang dibahaskan kerana ia tidak sebegitu populis walaupun bermakna.

Pendebatan berkenaan naik dan turunnya ranking bagi universiti yang sedang membangun seperti yang berada di lokasi Asia dan Afrika pastinya tidak berkesudahan. Jika kita mengkaji, jarang sekali universiti di negara maju dan yang berada dalam lingkungan ranking tertinggi menyerlahkan posisi masing-masing dengan leluasan promosi ranking. Ini kerana umum mengetahui dan mengakui kecemerlangan universiti tersebut tanpa mereka bergantung kepada ranking yang sentiasa debatkan. Malah, kita akan mendapati kebanyakan promosi berita berkenaan ranking mereka akan dilaporkan oleh pihak ketiga.

Di negara kita, perbincangan kedudukan institusi pendidikan tinggi akan membentuk dua kutub pendapat yang berlawanan. Seumpama melihat bekas yang berisi air separuhnya atau melihat bekas yang kosong separuhnya, keduanya tetap memberikan keabsahan kepada pandangan masing-masing. Ada pendapat dikeluarkan untuk bermacam kepentingan dan lantunan yang harus dicermati setulusnya. Pelbagai pandangan yang datang dan pergi silih berganti atau sentiasa bertukar ganti. Yang pastinya mereka yang berada dalam dunia akademia perlu terus hidup dalam sistem tersebut dan akan berhubung dekat dengan keperluan ranking yang didendangkan.

Persoalannya, interaksi yang bagaimana harus di bina oleh akademia dalam berhadapan sistem yang tentunya menghadapi arus yang sentiasa berubah.

Saya banyak meneliti arus perbincangan yang selalu di angkatkan oleh pelbagai media berkenaan penentutarafan ranking universiti Malaysia waima berdasarkan metriks QS atau THE. Jika kita merujuk kepada berita pelbagai ranking sedunia dalam berbagai bidang seperti ekonomi, kesejahteraan warga sehinggalah kepada sukan; sudah tentu mereka yang populis akan gah mencanangkan sebarang bentuk kenaikan ranking yang sememangnya berhak untuk dibanggakan.

Ironinya pula apabila berlakunya penurunan, mereka akan bersembunyi hilang dibalik kemulukan alasan. Kadangkala ada yang menuturkan seakan melalui dua mulut berlainan; di kata pentingnya ranking apabila meninggi. Namun di kala lain apabila mencorot, hilang pula pentingnya dan tiadalah ranking menjadi ukuran.

Seharusnya gaya populis dan inkonsistensi sebegini dijauhi dalam tentukuran sistem universiti. Akademia harus berpegang pada sistem nilai yang tegap kukuh dengan memilikkan pandang alam yang tepat terhadap kehadiran dan tujuan universiti serta masa depannya.

Saban tahun, perhatian utama yang sentiasa diberikan terhadap ranking universiti semestinya menyesakkan rasa ahli pengurusan universiti berulang ulang kali. Sudah tentu segenap akademia di universiti juga akan menyentuh rasa yang sama kerana sumbangan merekalah yang sentiasa ditagih harap dalam melonjakkan universiti masing masing.

Semasa perbincangan ranking universiti yang berlangsung pada setiap tahun itu, ingatan saya pastinya tetap tertacap pada satu sesi diskusi yang mendamaikan jiwa dan rasa berkenaan rejuvenasi pandang alam terhadap universiti sedunia. Ianya berlaku pada tahun 2011 di mana ketika itu Profesor Ihron Rensburg telah diundang bagi berkongsi pengalaman dan pandangan universiti global yang bertemakan ‘Rankings and Mission’.

Prof Rensburg banyak terlibat dalam pembangunan pendidikan pasca apartheid di Afrika Selatan. Beliau memang diiktiraf sebagai strategis pendidikan dan banyak dijemput berkongsi visi dan misi pendidikan di seluruh dunia. Saya masih dapat rasakan aura pembentangan beliau yang penuh kejiwaan terhadap pendidikan termasuk pendidikan tinggi kerana pengalaman langsung beliau dalam merubah dasar serta pelan pendidikan Afrika Selatan daripada asas lagi. Saya dapat bayangkan Prof Rensburg yang ketika ini mengetuai Universiti Johanesburg, dijemput ke universiti di Malaysia kerana untaian hikmah beliau yang cukup tinggi dan terserlah berkenaan model pendidikan tinggi.

–bersambung