Dimanakah Boston di Timur?
1. Mampukah National University of Singapore NUS dan Nanyang Technological University NTU menjadi University of Harvard dan Massachusetts Institute of Technology MIT di Asia? Setidaknya itulah aspirasi pendidikan tinggi yang diutarakan oleh Perdana Menteri Singapura kira-kira 20 tahun yang lalu melalui gagasan pembangunan ‘Boston di Timur’.
2. Kemudiannya, hasrat tersebut diterjemahkan melalui beberapa strategi keutamaan terutamanya dalam aspek pembangunan bakat dan tarikan kepakaran. Hal ini dapat dilihat dengan perluasan inisiatif pengantarabangsaan seperti penggandaan tawaran biasiswa luar negara dan peningkatan komoditi ekspatriat.
3. Pendekatan sebegini boleh diperdebatkan daripada segi impak jangka pendek mahupun panjang. Secara umumnya, indikator pencapaian global institusi pengajian tinggi yang di tandai dengan tiga indeks utama THES, QS dan ARWU telah memberikan markah yang tinggi kepada kedua-dua institusi NUS dan NTU.
4. Bagi Singapura, kemandirian kecemerlangan sebegini masih memerlukan dokongan yang kuat melalui penglibatan kerajaan. Ianya cukup berlainan dengan Harvard dan MIT yang beroperasi dengan pendayaan swasta.
5. Di sinilah, sisi baharu pembangunan NUS dan NTU yang masih bermodelkan konsep ‘Government-Linked University’ menjadi pemerhatian menarik. Tentunya, isu kebebasan akademik dan perkaitan kerajaan pasti menjadi titik untuk memulakan perbahasan lanjutan.
6. Begitupun, salah satu inisiatif yang menjadi rujukan kecemerlangan pendidikan tinggi di Singapura adalah kejayaan penubuhan institusi bersama NUS-Yale. Kerjasama sebegini adalah suatu pendekatan yang disasarkan berupaya menujahkan kecemerlangan secara simbiosis. Namun, pengkajian lanjutan akan membuka kepada beberapa persoalan.
7. Kenapa kah Yale University yang menjadi institusi gabungan pilihan, dan bukannya bersama Harvard atau MIT sebagaimana impian awal? Apakah tarikan kepada Yale yang mahu menjayakan kerjasama tersebut?
8. Sekali lagi, persoalan kebebasan akademik dan komposisi penglibatan kerajaan menjadi latar belakang penting. Dalam konteks Singapura, dua perkara tersebut ditanggap sebagai penghambat kepada kelangsungan kecemerlangan dalam sela masa panjang.

