Mudahnya membuat pilihan jika ditunjuk akan kebenaran.
Kesukaran tentunya mendatang tatkala kita diberikan pilihan.
Harusnya dengan panduan, pilihan kita menjadi senang.

Bagaimana?

1- Tentukan tema umum-khusus buku yang mahu di beli. Misalnya buku berkenaan pendidikan (sebagai tema umum) – pendidikan tinggi (sebagai tema khusus). Lagi mudah jika diperincikan lagi, seperti buku berkenaan pendidikan tinggi (tema umum) – governans (tema khusus).

Walaubagaimanapun, langkah kedua biasanya jarang berlaku melainkan telah di tetapkan tujuan khusus sesuatu pembelian buku.

2- Dapatkan maklumat daripada mereka yang arif dalam bidang. Pastinya mereka berupaya memberikan nama buku ataupun nama pengarang terujuk.

3- Sebagai contoh pengalaman, saya mudah untuk membeli buku ‘The Innovative University’ kerana telah di sebut oleh seorang tokoh pendidikan tinggi. Dalam situasi yang sama, pilihan mudah di buat untuk memiliki buku seperti ‘Excellence Without Soul’, ‘Socrates in the Boardroom’ dan ‘Excellent Sheep’ kerana di cadangkan dan di kongsi oleh tokoh akademia melalui pelbagai platform.

4- Pernah satu ketika, saya mencari buku yang bertema pendidikan tinggi-biografi yang sememangnya sukar di jumpai. Akhirnya saya menemui buku bertajuk ‘Big Man on Campus’ yang merupakan biografi pengalaman Dr. Stephen Trachtenberg yang di tulis oleh beliau sendiri. Beliau merupakan seorang presiden universiti yang cukup prolifik menulis berkenaan sistem pendidikan tinggi global dan perkaitan dengan model universiti di USA.

5- Di dalam buku berkenaan, beliau menyebut beberapa rujukan buku pendidikan tinggi yang lain bagi menyokong pendapat yang diutarakan. Secara tidak langsung, beliau memberikan maklumat berkenaan buku-buku yang telah ditelaah sepanjang penulisan tersebut.

6- Ia memberikan panduan berguna untuk memilih buku-buku yang telah pun di rujuk oleh seorang pakar bidang. Dalam hal ini, senarai bibiliografi yang dicatatkan dalam sesebuah buku boleh memandu kita membuat pilihan.

7. Seterusnya, pilihan buku juga mudah dibuat jika kita menjadi pengikut tetap kepada penulis tertentu. Tentunya koleksi siri-siri penulisan mereka akan menjadi pilihan. Dalam kes Dr. Stephen Trachtenberg, memiliki buku beliau yang lain seperti ‘Reflections on Higher Education’, ‘Presidencies Derailed’ dan ‘Letter to the Next President’ telah memberikan inspirasi baharu masa depan pendidikan tinggi. Saya juga memiliki koleksi tulisan mantan Presiden Harvard, Derek Bok seperti ‘Our Underachieving Colleges’, ‘Universities in the Marketplaces’ dan ‘Higher Education in America’.

8. Selain itu, panduan pilihan boleh diperolehi daripada senarai buku dan rating yang dikeluarkan melalui capaian maya. Mereka yang melakukan pembelian di atas talian pasti biasa dengan pembahagian item mengikut kluster.

9. Pembelian buku juga mempunyai sistem pembahagian kluster dengan tawaran pelbagai genre. Daripada senarai buku dalam kluster pendidikan tinggi, kita akan memperolehi nama-nama buku beserta ratingnya tersendiri dengan hanya ketikan mudah. Kemudian, sistem maya tersebut akan mencadangkan buku-buku lain yang berkaitan dengan tema pilihan kita.

10. Namun begitu, harus diakui masih tiada platform atas talian yang mampu mengatasi keberkesanan Amazon. Selain menyediakan pilihan buku yang dikehendaki, Amazon juga membenarkan kita memiliki sebahagian besar buku yang telah pun di pilih dengan kadar harga yang lebih berpatutan.

11. Lanjutan itu ketika mempunyai akses bebas terhadap Amazon di USA, saya sanggup memperuntukkan ruang bagasi untuk membawa pulang buku-buku pendidikan tinggi seperti ‘Public Funding of Higher Education’, ‘How Universities Work’, ‘The University in Ruins’, ‘Beyond 2020’, ‘The Fall of the Faculty’, ‘Beyond the University’ dan ‘Potraits of Leadership’.

12. Tanpa pilihan sistem atas talian, semuanya perlu di lakukan secara manual. Ianya tentu sukar jika tiada panduan di berikan.

13. Pengalaman saya semalam ketika membuat pilihan buku mungkin boleh dijadikan suri panduan. Daripada pelbagai koleksi buku pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh gedung buku Kinokuniya, saya bercadang untuk memilih satu buku sahaja kerana faktor harga.

14. Rata-rata buku yang membincangkan aspek pendidikan tinggi terbitan luar negara di jual dalam lingkungan harga RM100-200 untuk setiap buku.

15. Justeru, saya selalu ternanti-nanti jika ada penulis tempatan yang dapat membukukan sebarang pandangan dan gagasan pendidikan tinggi supaya kos pemilikan ilmu berkenaan menjadi sedikit rendah. Dalam hal ini, pujian harus diberikan terhadap inisiatif UTM yang telah menerbitkan buku berkenaan pendidikan tinggi secara berterusan yang diluncurkan semasa perutusan tahunan Naib Canselor.

16. Berikutan tawaran buku pendidikan tinggi yang pelbagai di mana tiada kehendak khusus tajuk dan penulis yang perlu di cari, teknik ‘penyingkiran’ adalah sesuai untuk di gunakan. Ini bermakna, mana-mana buku yang tidak memasuki kriteria yang di tetapkan akan di singkirkan supaya menghadkan pilihan yang ada.

17. Kriteria yang pertama ditetapkan untuk memudahkan pilihan adalah penerbit. Sememangnya diyakini penerbit yang berprestij hanya menerima penulis yang telah teraku kepakarannya.

18. Oleh itu, buku seperti ‘Academic Diary’ terpaksa di singkirkan. Walaupun mempunyai tarikan yang tersendiri, buku tersebut tidak di terbitkan oleh penerbit pilihan tersohor bernama Routledge.

19. Pencarian seterusnya buku terbitan Routledge menemukan empat buah buku yang kesemuanya mempunyai konten yang menarik dan berkualiti. Untuk mudah, kriteria kedua yang di tetapkan adalah faktor harga di bandingkan dengan kuantiti kandungan. Ini bermakna buku ‘A Handbook for Leaders in Higher Education’ terpaksa di singkirkan pada saringan ini. Keputusan ini di buat kerana ketebalannya (baca: konten) tidak menyamai buku yang lain walaupun berkongsi kadar harga yang hampir sama.

20. Saya kini dihidangkan dengan tiga pilihan buku di mana dua daripadanya perlu disingkirkan. Bagaimana? Untuk membuat pilihan yang seterusnya, penelitian terhadap catatan di bahagian kulit belakang buku akan membantu. Kebiasaannya, di situlah dituliskan sedikit sinopsis buku bersama nama dan ulasan tokoh yang mencadangkan buku tersebut.

21. Kemudiannya, pemilihan dua buku daripada tiga boleh di pandu berdasarkan kedudukan dan jawatan pencadang buku. Tentunya pencadang yang mempunyai jawatan yang relevan seperti Presiden Persatuan Pendidikan Tinggi ataupun mereka yang sedang berkhidmat dengan universiti terkemuka akan memberikan merit yang tinggi untuk di pilih.

22. Merujuk kepada kriteria ketiga ini, buku bertajuk ‘Building Better Universities’ terpaksa di singkirkan. Harapannya, buku tersebut masih kemas terletak di reruai untuk di semak semula sebagai pilihan akan datang.

23. Rupanya memilih satu antara dua pada satu ketika adalah paling sukar. Lebih-lebih lagi apabila kita menemui rasional yang kuat untuk memiliki kedua-duanya. Agak sukar memilih yang satu, dengan menyingkirkan yang satu ketika mendapat tawaran buku sebegini. Sekurang-kurangnya buat masa ini.

24. Buku ‘Creative Learning in Higher Education’ diperlukan bagi memberikan perspektif baharu kurikulum pembelajaran sesuai dengan tanggungjawab penjawatan. Manakala buku kedua ‘Developing Academics’ berupaya memberikan jawapan dalam menyediakan rumusan model akademia masa hadapan.

25. Tiada kriteria yang mampu menggariskan pemisah di antara dua buku. Jika diletakkan kriteria keperluan kerjaya yang terdekat, buku pertama pasti menjadi pilihan. Namun, pesona buku kedua cukup kuat sebagai sokongan latar belakang kerjaya. Namun, pilihan harus di buat juga. Anda bagaimana? Istisyarah?

Penutup

Begitulah catatan seadanya dalam membuat pilihan dan keputusan. Tiadalah di tentukan panduan yang mana perlu di dahulukan dan kriteria yang mana perlu di akhirkan. Ini kerana memilih merupakan kebebasan yang perlu di pertanggungjawabkan terhadap diri masing-masing.