Bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat kaum ibu berkerjaya, 30 juta ringgit disediakan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan Kerajaan, terutamanya di hospital dan universiti awam.
Program Pemulihan Dalam Komuniti merupakan antara medium intervensi awal untuk anak-anak kurang upaya meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan. Setakat ini, USM merupakan universiti pertama yang melaksanakan program ini. Tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk meluas pelaksanaannya ke universiti-universiti awam lain.
Kerajaan menyediakan 423 juta ringgit di bawah MOSTI dan KPT bagi mempergiat aktiviti R&D ke arah mengaplikasikan pembaharuan yang selari dengan perkembangan sains dan teknologi. Peruntukan ini termasuk 295 juta ringgit kepada universiti awam untuk terus berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.
Selanjutnya, Kerajaan juga akan terus melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana bernilai 2.9 bilion ringgit yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 ke G4 di seluruh negara. Peruntukan ini antaranya melibatkan projek selenggara jalan, baik pulih infrastruktur dan peralatan usang universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta projek-projek lain melibatkan ameniti sosial di luar bandar.
Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan meluaskan perkhidmatan klinik bergerak oleh Hospital Pengajar Universiti sebagai usaha menambah akses saringan dan pendidikan kesihatan di kawasan-kawasan tumpuan.
Dr. Mohd Bakri Bakar
“Idealogue, Diplomat, Educator, Advocator of Science”