Boston di Timur?

1. Antara aktiviti menambah nilai yang dilakukan ketika melanjutkan pelajaran dahulu adalah menghadiri pelbagai seminar berbentuk umum. Ketika itu, dunia global seakan baru disedarkan kembali dengan elemen yang telah lama ditinggalkan; yakni inovasi.

2. Dalam mana-mana pembentangan berkaitan inovasi global, nama Singapura pasti akan mendapat ruang sebagai model rujukan. Kebetulan saya sememangnya berkhidmat di bahagian selatan tanahair. Negeri yang hanya disempadankan dengan Singapura oleh rentasan selat.

3. Dalam fikiran ketika itu, tentunya lokasi tersebut cukup dekat dan strategik untuk lebih membanyakkan interaksi antara dua jiran yang saling berdekatan. Tentunya banyak manfaat yang boleh di pelajari terutamanya dalam aspek pendidikan. Pandangan yang jelas, mereka yang terdekatlah harus mengutip untung yang paling banyak. Hal ini membentuk perspektif yang pertama terhadap hubungan kejiranan yang bermanfaat.

4. Seterusnya, ungkapan ‘The World is Flat’ menjadi terkenal yang dimuatkan sebagai tajuk buku kolumnis Tom Friedman. Ia memberi makna baru terhadap dunia tanpa sempadan; di mana cabaran geografi dicadangkan tidak lagi menjadi halangan.

5. Justeru, faktor dekat atau jauhnya lokasi secara fizikal tidak lagi menjadi imbalan. Ini kerana mana-mana hubungan telahpun di rentaskan oleh kehadiran pelbagai segmen teknologi yang juga telah meratakan sempadan fizikal. Oleh itu, setiap manfaat bukan lagi berlegar sekitar kejiranan terdekat, malah mampu melangkau sempadan jauh.

6. Begitu juga dengan aspek pendidikan. Aspirasi, agenda mahupun model mana-mana sistem pendidikan boleh dipelajari melalui tawaran pembelajaran secara maya dan komunikasi berteknologi tanpa lagi di iringkan dengan konsep lama lawatan sambil belajar. Sekali lagi, kederasan perubahan telah membentuk perspektif kedua bahawa capaian manfaat boleh berlaku daripada interaksi kejiranan tanpa sempadan.

7. Teknologi hanya berguna jika mendapat sokongan fasiliti. Itu tanggapan yang di acu sekembali ke tanahair. Akan tetapi, akses terhadap sistem sokongan sepertimana kemudahan internet tempatan adalah amat perlahan dalam sela masa tersebut.

8. Lalu kaedah konvensional berinteraksi secara fizikal rupanya masih releven ketika itu. Sekali lagi kerana aspirasi untuk mengambil manfaat daripada lokasi kejiranan terdekat, pembelajaran amalan pendidikan dan penyelidikan diaturkan melalui interaksi dengan institusi di Singapura; antara lainnya adalah ICES A*STAR, NUS dan NTU.

ices-seingapore-2012

ICES 2012

9. Pesona sistem pendidikan Singapura cukup hebat. Ia telah diterjemahkan sebagai satu kejayaan dengan rujukan terhadap ranking tertinggi pendidikan yang dicapai saban tahun. Setidaknya, itulah pandangan umum yang telah berjaya di bentuk dan dikatakan terbukti. Tentunya lawatan secara fizikal dan terhad tidak membuka erti yang sebenar.

10. Dalam masa terdekat, sekali lagi nama Singapura menjadi pusingan modal pendidikan tempatan ketikamana ranking PISA diumumkan. Kemudiannya, satu artikel viral telah berkongsi pula berkenaan kejayaan universiti di Singapura yang mencatat ranking pendidikan teratas dalam masa yang pantas. Artikel tersebut dikatakan di tulis oleh seorang profesor luar yang baru berkhidmat di NUS.

11. Kesimpulan di hujung artikel tersebut menggugah pandangan. Jiwa akademik, apatah lagi selepas lama melalui latihan saintifik menyukarkan untuk menerima mulukan tanpa menyelidik. Bukankah terdapat dua sisi pada sekeping syiling? Dan segala manisan di sebalik gaya pakejing dan pemasaran harus di tabayyun kan!

12. Sehinggalah ditemukan dengan kajian ilmiah daripada buku ‘Singapore’s Education System: Myth or Reality”, yang bersumberkan rujukan sahih dan memberikan sisi pandangan yang baharu. Atas semangat peniruan mana-mana model tidak memberikan makna yang benar, persoalan kenapa dan bagaimana pendidikan Singapura menjadi sedemikian harus di lunaskan bermula daripada asas falsafah. Buku ini bakal menawarkan jawapan.

13. Kita boleh bersetuju bahawa sebarang kebaikan waima daripada mana sahaja wajar di manfaatkan. Namun, bukankah hanya nilai keorganikan sesebuah institusi yang berupaya melestarikan serta memandirikan kecemerlangan? Dan ianya bukan datang dengan sekadar celupan di sana sini!

education-myth-or-reality

UTM Open Day