Setelah beberapa minggu selepas hari pendaftaran universiti, mahasiswa baru seharusnya telah mula menyesuaikan diri dengan pengalaman kehidupan dan pembelajaran di universiti. Setiap universiti telah bersedia sebaik mungkin dalam menerima komuniti mahasiswa baru terutamanya dengan memastikan transisi proses pembelajaran mereka daripada bergelar pelajar kepada mahasiswa berlangsung dengan jayanya.

Saya berkesempatan berkongsi beberapa pandangan ketika di jemput ke program ‘First Year Experience’ FYE Fakulti. Dalam pembentangan berkaitan prospektif kehidupan mahasiswa di fakulti khususnya dan universiti umumnya, saya memulakan perbincangan dengan mengambil kira pengalaman masing-masing yang berbeza. Umum mengetahui setelah tamat penilaian SPM di peringkat persekolahan, pelajar di negara kita seterusnya akan mengikuti pilihan fasa pembelajaran yang berbeza. Antaranya adalah melalui STPM, matrikulasi ataupun asas universiti. Sudah tentu kelainan sistem pembelajaran dan kehidupan dicerapi oleh mereka mengikut pilihan tersebut.

Apabila mereka memasuki universiti, kepelbagaian itu akan dirangkumkan dalam satu nada yang hampir serupa. Sudah tentu pihak universiti telah cuba untuk akomodasi pengalaman awal pelajar yang berlainan semasa memprogramkan kurikulum dan kokurikulum universiti. Pada akhirnya, satu kerangka transformatif pembangunan pelajar akan dibentuk di mana pelajar yang kini telah bergelar mahasiswa akan berada dalam satu sistem yang sama. Keluwesan sistem tersebut masih berlaku mengikut keperluan semasa dan kehendak pemegang taruh, namun secara umumnya pengalaman yang sama akan ditawarkan kepada mahasiswa sepanjang mereka berada di universiti.

Dalam pada masa yang sama, sistem pendidikan tinggi negara telah berkembang melalui pelbagai fasa termasuklah melibatkan corakan graduan yang dilahirkan. Kini, PPPM(PT) telah meletakkan sasaran melalui lonjakan pertama pelan untuk melahirkan mahasiswa berteraskan 3 nilai; holistik, keusahawanan dan seimbang. Ketiga-tiga atribut inilah yang menjadi mantra dalam semua aspek pembentukan dan pembangunan mahasiswa universiti.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, mahasiswa yang berlatarbelakang yang pelbagai akan ditawarkan pengalaman universiti yang sama. Daripada sudut yang lain, tawaran universiti merupakan pekali yang tetap. Justeru, pekali yang perlu berubah adalah mahasiswa. Oleh itu, saya memberikan penerangan kepada mahasiswa supaya memberikan respons dengan berubah bersesuaian dengan pengalaman awal masing masing.

Dalam banyak perkongsian dengan mahasiswa sebelum ini, saya sentiasa memulakan dengan aspek ritma perubahan pelbagai yang boleh di ikuti oleh mahasiswa di universiti kerana tiada aturan keterikatan yang rigid seperti sistem persekolahan. Selain itu, saya juga sering berkongsi bahawa banyak pilihan harian kini perlu ditetapkan sendiri selepas mereka berada di universiti. Manakala, kepelbagaian maklumbalas yang diberikan terhadap alam universiti akan bergantung kepada pandang alam dan sistem nilai yang dipegang.

Bagi aspek pengkhususan pembangunan mahasiwa, nilai holistik selalu diterjemahkan dalam 3 komponen terikat- IQ, EQ dan SQ. Dalam
buku ‘Excellence without Soul’, penulis Harry Lewis meletakkan pandangan bahawa kehidupan mahasiswa di universiti adalah bertepatan dengan fasa penting pembentukan manusia kerana umur awalan dua puluhan mahasiswa merupakan usia lenturan terbaik. Sehubungan itu, penulis tersebut yang merupakan mantan Dekan di Harvard mengingatkan bahawasanya kecemerlangan pendidikan harus di bina secara holistik termasuk melibatkan pemupukan kejiwaan dan insaniah individu yang murni.

Di dalam universiti, kehidupan mahasiswa di dalam kampus boleh dibahagikan kepada lokasi fakulti, lokasi kediaman dan lokasi umum. Amalan konvensional sesebuah universiti adalah menyerahkan aspek pembangunan IQ kepada fakulti dan pembangunan EQ-SQ kepada lokasi kediaman serta lokasi umum di luar fakulti. Sememangnya topik perbincangan saya pada pagi program FYE tersebut adalah berkenaan tawaran Fakulti Sains yang unik dengan program sinergitik IQ-EQ-SQ di lokasi fakulti.

Kebiasaannya, proses pemantauan pembangunan setiap mahasiswa lebih mudah dilakukan di fakulti berbanding lokasi lain kerana kewujudan sistem penasihatan akademik fakulti yang merangkumi pemantauan setiap individu mahasiswa. Malah, sistem penasihatan tersebut boleh diperluaskan lagi termasuk melibatkan aspek selain akademik. Selain itu, model khusus jawatankuasa khas pembangunan mahasiswa boleh dibentuk di peringkat fakulti bagi memberikan peluang perlaksanaan dan pemantauan setiap aktiviti dengan lebih berkesan.

Sudah tentu perlaksanaan program sebegini di peringkat fakulti memerlukan komitmen tambahan daripada pensyarah serta staf fakulti. Ini kerana keterlibatan murni ini sukar dinampakkan kepentingannya dalam pelbagai aspek penilaian prestasi mahupun ranking kerana ianya bersifat proses dan bukan ‘tangible’. Saya dapat merasakan kelestarian program sebegini dapat berlaku disebabkan kepuasan dan minat tenaga penggerak untuk menyumbang kepada perkembangan mahasiswa seperti membantu ahli keluarga sendiri. Sesungguhnya keberjayaan program di peringkat fakulti ini akan membantu menterjemahkan inisiatif transformasi pembangunan mahasiswa melibatkan keterangkuman kepada semua individu.

Jika atribut holistik adalah intisari capahan menegak, atribut seimbang pula adalah capahan yang melintang. Penerapan IQ-EQ-SQ sememangnya memerlukan keseimbangan di antara ilmu serta pengetahuan dan kemahiran insaniah serta akhlak. Mahasiswa yang dapat menyeimbangkan keduanya pasti mendapat tempat untuk masyarakat serta negara di samping merebut tempat untuk kerjaya.

Atribut ketiga adalah berteraskan nilai keusahawanan ‘entreprenurial’. Ramai mengatakan seseorang menjadi usahawan kerana sifat semulajadi usahawan sedia ada. Namun begitu, ciri keusahawanan seharusnya boleh dipupuk jika mempunyai minat. Atribut ini di bina di universiti berasaskan konsep penciptaan kerja berikutan cabaran sukar untuk graduan mendapatkan kerja tertentu pada masa sekarang. Graduan di harapkan mampu dididik untuk pada akhirnya mencipta peluang kerjaya untuk diri dan kemudiannya membuka peluang kerjaya kepada mereka yang lain. Atribut ini sememangnya mengambil masa untuk dilaksanakan, akan tetapi graduan berciri keusahawan adalah praktikal untuk semua tempat serta kerjaya. Justeru, penerapan dan pembudayaannya boleh terus diserapkan dalam proses pembelajaran mahasiswa.

Pada petang program FYE tersebut, saya di mohon untuk mewakili pengurusan fakulti bagi menutup program secara rasmi. Dalam sela masa terhad, saya sempat memanjangkan perkongsian kepada beberapa sub topik lagi yang saya rasakan berkepentingan untuk mahasiswa baru.

bersambung…..