Baca 10 minit 25/4/2017

Usman Awang berkata:

Saya menganggap bahawa intelektuel itu ialah:
1. Orang yang punya ilmu pengetahuan dan fikiran yang sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan ilmu dari zaman ke zaman semakin bertambah kaya.
2. Orang yang sentiasa berfikir dan menyumbangkan serta mengembangkan ideanya.
3. Orang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisa dan merumuskan semua perkara dalam kehidupan manusia, terutamanya masyarakat dan alamnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu.
4. Orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuangkan kebenaran, orang yang mengenal kebebasan dan berani memperjuangkan kebebasan, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali dengan tujuan melaksanakan kebenaran, kemajuan dan kebebasan rakyat.

Yang paling penting pada seorang intelektuel itu ialah sikap hidupnya. Sikap ini lahir dan menjelma daripada pendirian.

Usman Awang-Malaysia Hall London, 1970.

Jadi yang perlu dikemukakan bukan contoh yang perseorangan, tetapi contoh suatu masyarakat. Apabila kita terlalu membanggakan kejayaan perseorangan, dengan sendirinya kita melupakan ketinggalan dan kegagalan beratus ribu yang lain.

Bila kita terlalu memikirkan kejayaan diri tanpa sedikitpun memikirkan keadaan masyarakat, maka inilah menyebabkan orang menjadi individualistik; tidak kira apa yang berlaku pada orang lain, asalkan dia boleh maju dan jaya.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa soal suasana, persekitaran dan sistem adalah penting. Bukan soal malas dan rajin menjadi soal pokok, bukan soal individu dalam masyarakat, tetapi sebaliknya soal masyarakat itu sendiri.