#KuliahTerakhir

Mereka merupakan generasi baharu pelajar daripada program Fakulti Kejuruteraan yang mengambil kursus sains. Memang, saya lebih kerap mengajar pelajar daripada Fakulti tersebut menerusi kluster kursus perkhidmatan.

Telah menjadi amalan bagi pelajar yang mengikuti program kejuruteraan kimia untuk mengambil beberapa kursus asas sains. Antara pakej tawaran tersebut termasuklah kursus matematik dan kursus kimia berkaitan seperti kimia organik dan kimia analisis.

Persepsi yang dibina oleh pelajar terhadap kursus kimia organik adalah menarik untuk diangkatbicara. Dikatakan mereka boleh dibahagikan secara jelas di antara dua garisan; minat atau terpaksa, mudah atau sukar, sayang atau benci. Tiada garisan yang kelabu. Tiada jua pertengahan yang ragu-ragu.

Membawa pelajar yang berada di dalam blok ‘terpaksa, sukar dan benci’ untuk merentas garisan dan menduduki blok baharu ‘minat, mudah dan sayang’; ianya tugas ketanggungjawaban. Harusnya menjadi kebanggaan.

Akan tetapi, bagaimana?

Sifat pelajar adalah rencam. Untuk mengenalpasti karekter individu dalam jangka masa satu semester sememangnya mencabar. Apatah lagi jika pelajar berada dalam gabungan blok-blok berlawanan. Misalnya ada di antara mereka yang ‘minat tetapi sukar’, ataupun ‘mudah tetapi terpaksa’. Dicampur dengan mereka yang tetap konvensional.

Justeru, bagaimana?

Pembelajaran abad ke-21 PAK-21 membawa beberapa erti untuk ditelaah. Menurut Forum Ekonomi Dunia WEF, kualiti karekter pelajar yang di tuntut adalah kuriositi, inisiatif, persistent, adaptasi, kepimpinan serta kesedaran sosial dan budaya bagi menangani ekosistem pembelajaran yang rencam berubah.

Jika begitu, laluan pembinaan karekter pelajar harus dijalinkan dengan pembelajaran konten kandungan kursus. Aras pembelajaran melibatkan pembinaan pengetahuan, aplikasi pengetahuan dan praktis perlu disepadukan dengan pembangunan karekter insaniah. Tentunya menjadi peri penting untuk merekayasa pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik STEM yang teradun dengan nilai karekter yang dinyatakan. Malah, sebahagian nilai tersebut sepertimana sifat kuriositi terpakej secara automatik apabila mengikuti kursus berteras STEM. Sebahagian besar lagi harus direncanakan.

Sekali lagi, bagaimana?

……..

#HariTerakhirKuliah