Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia UTM berbangga kerana dapat melahirkan penerima PhD termuda negara pada sela masa dua tahun berturut-turut. Pada tahun ini, Dr Mundzir Abdullah telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records melalui Pencapaian Tertinggi di Malaysia sebagai ‘Youngest PhD Holder’. Anugerah ini diumumkan secara rasmi semasa Majlis Konvokesyen UTM ke-55 yang sedang berlangsung. Pada tahun sebelumnya, graduan Fakulti Sains UTM; Dr Hazzirah Izzati Mat Hassim turut menerima pengiktirafan yang sama.

Ketika di temubual oleh rtm1, cukup menarik apabila Dr Mundzir mengungkapkan konsep pembelajaran ilmu yang tidak mengenal usia. Sememangnya usia tidak akan sesekali membataskan kemahuan dan keperluan untuk menimba ilmu. Konsep menimba tersebut memberi maksud perolehan ilmu yang dicerap berdikit-dikit supaya mendatangkan makna pengetahuan, tetapi perlu berterusan bagi mencapai hasil akhir. Usia muda membolehkan proses penimbaan yang laju seiring tenaga, manakala usia berumur membolehkan penimbaan yang bersabar seiring pengalaman.

Bertepatan dalam hal ini, PPPM-PT menggariskan lonjakan ‘pembelajaran sepanjang hayat’ sebagai salah satu teras strategik pembangunan pendidikan tinggi negara. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah mewujudkan sistem APEL di mana proses pengenalpastian, pendokumenan dan penilaian pembelajaran akan dilakukan berdasarkan pengalaman. Ini membolehkan individu terbabit dapat melanjutkan pengajian mereka di Universiti Awam walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik tertentu. Sistem ini telah di buka untuk tawaran lanjutan pengajian sama ada untuk program sarjana, sarjana muda mahupun diploma atau sijil.

Dalam hal yang berkaitan, kedua-dua graduan cemerlang Fakulti Sains UTM tersebut adalah berteraskan pembelajaran sains. Ternyata daya tarikan terhadap sains perlu terus diupayakan. Kejayaan mereka seharusnya mampu menghilangkan stigma pembelajaran sains yang susah; di mana ianya telah banyak merencatkan usaha meninggikan modal insan sains negara. Guru-guru pula perlu lebih banyak memperkenalkan contoh saintis muda sebegini sebagai daya tarikan untuk membawa kembali minat pelajar masing-masing terhadap ilmu sains.

Pada akhirnya, waima apa dan di mana sesorang graduan itu; keterserlahan universiti yang dikendong akan tertampak melalui kelahiran insan yang berjaya di didik dan di ajar seia dengan untaian hikmah Hamka:

“Pendidikan merupakan serangkaian upaya yang dilakukan pendidik untuk membantu membentuk watak, budi, akhlak, dan kepribadian peserta didik, sehingga ia tahu membedakan mana yang baik dan mana yang buruk. Sedangkan pengajaran yaitu upaya untuk mengisi intelektual peserta didik dengan sejumlah ilmu pengetahuan”