Sememangnya tidaklah perlu berkira-kira untuk memberikan khidmat, dan tentu semuanya perlu mengikut kebolehan dan kemampuan sendiri.

Berkhidmat di institusi seperti universiti, tiada lagi istilah kerutinan kerja kerana ruang eskplorasi yang ditawarkan adalah tanpa limitasi. Anda lah yang selayaknya merekayasa sendiri skop dan bentuk kerja serta perkhidmatan mengikut panduan umum yang disediakan, bagi memenuhi keperluan, kepentingan dan kelestarian institusi.

Namakan apa sahaja sama ada pemikiran cerdas kritis, jiwa entreprenuerial ataupun langkah lestari; semuanya cocok dengan rupa gaya komuniti universiti.

Malah, mana kan boleh diasingkan peranan penting komuniti institusi universiti untuk terus menyumbang kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakatnya; termasuklah mencapah kepada urusan global. Dengan itu, selain khidmat pendidikan dan penyelidikan secara khusus dan dalaman; tawaran perkhidmatan yang diberikan harus juga melangkau litupan kampus.

Menyumbang seikhlasnya, pasti ada perkiraan akhirnya.

Apabila mengira secara purata, didapati bilangan entri khidmat profesional yang disumbangkan sejak 5 tahun lalu adalah sebanyak 69. Bagi yang lama mengenali, tiadalah juga kejutan baharu jika perkiraan entri terkini mampu mencecah bilangan 100 (baca: ada individu yang mempunyai rekod lebih tinggi). Bahkan pencapaian tertinggi yang pernah di catat sebelumnya adalah sebanyak 77 entri. Malah semasa berada di luar negara selama 6 bulan pun, sebanyak 45 entri khidmat profesional telah direkodkan untuk tahun tersebut.

Semuanya kerana nilai 360darjah perkhidmatan profesional yang dapat disumbangkan; sama ada di peringkat institusi, komuniti/daerah, negeri, kebangsaan ataupun antarabangsa. Misalnya dalam konteks pelajar; antara khidmat yang diberikan melibatkan pembangunan akademik, sahsiah, kebolehpekerjaan dan keprofesionalan pelajar. Konteks penyelidikan pula akan melibatkan penilaian tesis hasil penyelidikan sama ada luaran atau dalaman, dan termasuk juga penilaian geran penyelidikan atau hasil penerbitan selaku pakar rujuk. Lingkupan yang besar juga ditaruhkan untuk memberikan perkhidmatan kepada komuniti melalui pelbagai rencana.

Begitu juga, dek kerana pelbagai posisi dan identiti yang perlu diupayakan; tentunya tawaran perkhidmatan juga akan berupaya melimpah. Misalnya sebagai ketua ataupun pengikut; jua pemikir, strategist, perancang atau pelaksana, penasihat atau pemantau, pengucap atau penulis, serta lain-lain ‘topi’ yang perlu digunapakai dalam situasi berbeza.

Asasnya ada pada bantuan dan sokongan daripada teman-teman, ada perkumpulan kawanan yang berkongsi kisah dan cerita, bersamanya ada pengorbanan pelbagai sudut dan pihak, ada rangkaian jalinan yang melebar luas sama ada rasmi atau bukan rasmi, ada yang menunjuk jalan serta menuntun tangan, ada yang menerima kemudiannya turut memberi, ada yang menaruh amanah dan kepercayaan, ada yang memberikan sanjungan dan pengiktirafan, serta ada yang meletakkan harapan, memerlukan bantuan dan ditunjuk jalan.

Namun begitu, pandangan yang harus menerima keutamaan adalah tidak semua sumbangan waima bidang apa sekalipun-dapat dikuantifikasi melalui pengiraan dan nombor. Malahan, sebahagian impak sumbangan mungkin tidak jelas ternampak pada masa yang terdekat. Sumbangan secara tidak langsung seperti yang biasa kita ungkapkan juga tidak mampu dikira-kira.

Kefahaman tersuluh sebegini cukup penting dalam gambaran besar penentuan kemampanan institusi untuk lonjakan jauh melalui pengokohan asas dan tapak lonjakan.

Di mana pula 2018, belum pasti.

Alhamdulillah, Haza min fadli Rabbi