phd-commencement

Kami berdua berkongsi kebuk wasap ‘fumehood’ yang sama semasa menjalankan projek penyelidikan PhD.

Setiap pagi, pastinya kami akan berbincang agihan ruang dan perkongsian radas/peralatan eksperimen untuk hari tersebut.

Misalnya kebuk wasap kami mempunyai 5 buah ‘hotplate/magnetic stirrer’ untuk digunakan dalam eksperimen sintesis bahan. Bergantung kepada jenis dan keperluan eksperimen masing-masing, kami akan mengagihkan supaya semua dapat menggunakannya dengan ‘saksama’.

Kadangkala supaya kekal kompetitif, saya sengaja menyuarakan hasrat untuk menggunakan lebih banyak kemudahan eksperimen pada hari tertentu. Walhal sebenarnya saya tidak pun merancang untuk menggunakannya 😄.

Dia adalah senior dalam kumpulan penyelidikan yang sentiasa menjadi rujukan. Sememangnya ketika memilih penyelia dan universiti untuk mengikuti program PhD, saya menyasarkan dia akan berperanan sebagai rakan yang dapat memberikan bantuan di makmal jika diperlukan.

Strategi sebegini dan lain-lain inisiatif yang dilakukan pada masa itu diharapkan dapat mengurangkan risiko ketidaktentuan. Hal ini kerana banyak ketidakpastian yang dijangkakan berlaku sepanjang tempoh pengajian PhD.

Lebih-lebih lagi bagi saya yang pertama kali akan berada di luar negara dalam jangka masa yang lama. Lagipun, saya akan ke sana secara individu, bukan dalam perkumpulanan. Malah saya bukannya ke negara yang telah sedia dikenali dengan kehadiran ramai pelajar pascasiswazah negara kita.

Terbukti langkah ini dapat membantu saya menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dengan lebih mudah. Walaupun sebenarnya saya juga beruntung kerana selain dia, rakan-rakan makmal yang lain tidak kurang hebatnya dengan saling sokong menyokong di antara satu sama lain.

Dia yang dimaksudkan ialah bro Yasser Atta. Secara kebetulannya, Dr Yasser baru ‘berkawan’ dengan saya di facebook sebentar tadi dan esoknya saya mempunyai sesi seminar bersama pelajar pascasiswazah fakulti.

Sudah tentu kisah sebegini antaranya akan dikongsi sepanjang sesi seminar tersebut jika dapat dijadikan teladan.