Tidak ramai khalayak universiti terkemudian yang mengetahui ma’na monumental klasik ini yang kini tersergam di pusat utama urustadbir universiti. Ianya dinamakan ‘Loh Hijrah’ ilham dari Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid yang membawa sama erti, penghargaan dan nilai perpindahan kakitangan dari UTM KL ke UTM Johor. Lebih besar dari itu ma’nanya mendekati kefahaman terhadap asbab penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bagi tujuan meningkatkan kebaikan demi Islam. Ayat yang ditulis di atas ‘papan tulis perpindahan-loh hijrah’ tersebut dimulai dengan Bismillah-dengan nama Allah yang membawa ma’na pendahuluan dunia keilmuan adalah dengan bimbingan Allah. Begitulah ketelitian Allahyarham yang melakukan sesuatu dengan ruh dan falsafah yang mendalam tanpa sia-sia, terserlah dalam semua asas yang membina UTM. Pembinaan bangunan kampus semuanya bernuansa visi Islam dan melayu; dimulakan dengan pembinaan masjid sebagai titik tengah kampus, pengindahan landskap kampus dengan tanaman yang serasi dengan latarbelakang melayu dan tanaman yang disebut di dalam AlQuran, nama asrama ‘kampung pelajar’ dengan nama pokok tempatan, keunikan warna pokok pulasan yang menjadi warna rasmi, doa dipintu masuk utama ‘Rabbi zidni ilm’, pengilhaman motto universiti ‘kerana Tuhan untuk manusia’ yang dimohon pandangan dari mufti-mufti, logo universiti yang teliti dibina membawa ma’na sarwajagat, sehinggalah kepada ketelitian pembawaan majlis graduasi. Ruh pembangunan ini diserlahkan lagi dengan sosok unggul dan sentuhan Allahyarham dalam usaha pembinaan insan dengan nilai ta’lim, ta’dib dan tarbiyah. Manakan dapat dicari ganti seumpama ini-Al Fatihah.
Cuplikan dari catatan buku ‘Ainuddin Pejuang Degil Melayu’-Fatini Yaacob