Ketika universiti lain bersilih ganti bertukar Pengerusi (dan juga ahli) Lembaga Pengarah Universiti LPU pasca PRU-14, ada universiti yang kekal bertahan.Sehinggalah akhirnya perubahan tidak dapat dibendung. Terima kasih YBhg. Tan Sri!

Teringat kepada catatan perihal Universiti, autonomi dan kebebasan:

1. Universiti awam ditubuhkan oleh sesebuah kerajaan bagi memimpin, mengubah serta memberdayakan masyarakat awam dan negara.

2. Justeru, kerajaan masih mempunyai mandat dalam pengurusan universiti awam untuk diselaraskan mengikut keutamaan dan kepentingan negara.

3. Namun begitu, ekosistem tadbir urus universiti adalah unik dan tidak bersesuaian untuk beroperasi sebagaimana institusi dan agensi kerajaan yang lain. Selain itu, operasi universiti juga perlu lebih fleksibel dan anjal bagi mendepani ekosistem yang cepat berubah.

4. Di sinilah timbulnya persoalan autonomi universiti bagi membezakan punca kuasa tadbir urus universiti yang bukan secara mutlak daripada kerajaan.

5. Dalam hal ini juga, autonomi pendidikan tinggi diperlukan bagi memastikan keberkesanan keputusan dalam pengurusan universiti yang semakin kompleks.

6. Walau bagaimanapun, universiti masih memerlukan sejumlah geran bantuan pendidikan daripada kerajaan bagi melaksanakan peranannya.

7. Justeru, autonomi universiti perlu diberikan bersama pertanggungjawaban awam. Berikutan itu, universiti turut ditagih bagi melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan kepada masyarakat awam dan menyelesaikan pemasalahan mereka.

8. Bagi menangani perkara ini, antara inisiatif yang dicadangkan adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Tinggi. Suruhanjaya tersebut berperanan dalam memantau serta menyelia perjalanan universiti awam dan mengambil alih tugas kementerian yang tertentu.

9. Hal ini bersesuaian dengan semangat autonomi yang diberikan kepada universiti dan pertanggungjawaban universiti kembali kepada masyarakat dan kerajaan.

10. Justeru, penggubalan semula akta berkaitan seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu mengambil kira hasrat ini.