Assalammualaikum w.b.t. & Salam Sejahtera,
Pada Jumaat lepas, saya tergerak untuk menonton filem ini selepas terbaca komen menarik di Facebook. Ya, betul jalan cerita ini memang tidak mengecewakan, malahan setiap watak yang dimainkan mempunyai plot twist di pengakhiran cerita. Seharusnya pembaca web ini mesti tonton filem wajib ini walaupun ianya telah lama di tayangkan… Tidak silap saya pada tahun 2018.
Filem ini berkisar tentang Naina Mathur (lakonan Rani Mukerji) yang mengalami sindrom Tourette iaitu penyakit Neuropsikiatrik yang membuat sesorang mengeluarkan ucapan atau gerakan yang spontan (tic) diluar kawalannnya. Hal ini menyebabkan beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan penyakitnya itu. Walau bagaimanapun, Naina tidak berputus asa dan terus memohon untuk mendapatkan pekerjaan.
Akhirnya, Naina diterima mengajar di sebuah sekolah dan ditempatkan di kelas F iaitu kelas pelajar-pelajar jalanan yang bermasalah. Setiap guru yang mengajar di kelas itu, pasti akan merungut dengan perihal pelajar-pelajar tersebut. Namun, Naina tidak mengendahkan itu semua. Sebaliknya, Naina bangkit dengan keazaman dan kaedah pengajaran yang kreatif, ditambah lagi dengan kesabaran yang akhirnya berjaya menambat hati pelajar-pelajar kelasnya itu. Naina berjaya mengubah pemikiran pelajar-pelajarnya, yang selama ini merendah diri dan sentiasa kalah dengan pelajar-pelajar lain yang tinggi statusnya.
Apakah yang berlaku kepada pelajar-pelajar Naina selepas itu? Adakah Naina akan terus kekal mengajar di sekolah itu? Persoalan ini akan terjawab jika pembaca terus menonton filem ini hingga akhirnya. Pada pendapat saya yang telah menonton filem ini, 9.5/10 diberikan untuk Hichki…