“Buat apa nak susah-susah, buat apa nak kerja lebih-lebih? Dapat penuhi KPI sudah laaahhh..”.
“Maaf, saya tak nak terlibat dengan kerja XYZ. Saya dah penuhi KPI saya tahun ni”
“Kalau saya turut serta dalam projek ni, ada markah untuk saya tak? Kalau tak ada, saya tak nak..”
Sejak memasuki alam pekerjaan pada tahun 2008, banyak kali saya terdengar pernyataan-pernyataan macam di atas ni. Anda pun mesti pernah dengar juga kan? Apa dia? Anda juga pernah lontarkannya? Hehe.. Bak kata Prof. Rose Alinda dalam kursus Basic Competencies for Differentiated Career Path (BC4DCP) untuk pensyarah-pensyarah baru di UTM, ini adalah tanda-tanda awal jiwa yang hilang. Dengan kata lain, hanya buat sesuatu jika ada imbuhan – tak kira berbentuk wang, ataupun penarafan. Ini adalah masalah di mana-mana organisasi. Dan tak terkecuali, dalam dunia akademia.
Dunia akademia…. Dunia akademia ni luas. Ia adalah dunia menggali dan menyampaikan ilmu kepada anak bangsa. Sekali baca, nampak macam dunia ni dihuni oleh kakitangan akademik je kan? Ooohhh tidak. Bakal ‘tempang’ perjalanan seorang pensyarah di universiti tanpa kakitangan bukan akademik. Macam mana nak urusakn geran penyelidikan, nak buat tuntutan perjalanan, nak isytihar harta, nak pergi ke lapangan terbang, apatah lagi nak betulkan siling yang bocor (Terima kasih tak terhingga kepada Kak Sarah RMC, Nadzirah Kewangan, En Fadzly HR, Hilmi the transporter, dan En. Sham Unit Fasilti atas bantuan selama ini).
Ingat seorang pensyarah boleh buat semua ni sendiri ke? Alamat tak siaplah perancangan pengajaran, alamat setiasa terlepaslah tarikh akhir permohonan geran penyelidikan. Daripada setinggi-tinggi jawatan Naib Canselor hinggalah ke pembantu am. Semua saling memerlukan dan bergabung tenaga untuk menggerakkan institusi pendidikan. Bayangkan, ada jiwa yang hilang dalam dunia akademia – tak kira akademik mahupun yang bukan akademik. Boleh ke ilmu digali dan disampaikan dengan sebaiknya? Jika tidak, apa agaknya nasib anak bangsa yang dahagakan ilmu, dan apa pula implikasi kepada negara yang memerlukan bakat muda dalam bidang tertentu yang juga dilengkapi dengan nilai keinsanan dalam diri?
Mak saya sentiasa pesan, bila buat sesuatu perkara, buat dengan sepenuh jiwa. Ia pasti akan menghasilkan sesuatu yang setara dengan usaha dan kesungguhan kita. Bila buat sesuatu, mak pesan supaya kita pastikan manfaatnya bukan hanya untuk kita. Dalam setiap rezeki kita, ada bahagian orang lain. Saya tahu pesanan mak ni tulus daripada hatinya, seorang cikgu mengaji al-Quran untuk anak-anak kecil di kampung. Mak tak pernah letakkan sebarang bayaran untuk kelas mengajinya. Seikhlasnya, mak kata. Ada ketika mak pulangkan balik separuh bayaran sebab banyak sangat. Dan ada ketika mak pulangkan separuh bayaran jika anak-anak itu hanya dating beberapa kali pada bulan tersebut.
Mak pesan lagi, jangan dikejar penghormatan apatah lagi imbuhan daripada setiap tugasan. Kalau dapat, itu bonus. Kalau tak dapat, jangan dipertikaikan. Dan satu lagi pesanan mak saya, hormati orang lain tak kira jauh mana pangkatnya di bawah kita. Merendah diri itu perlu,tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bawa diri ke hadapan. Kita boleh, cuma perlu kena caranya, dan dalam situasi yang macam mana.
Di fakulti saya bekerja, saya ada jumpa ramai orang yang sikapnya macam yang mak pesan – yang masih utuh jiwa akademianya. Orang yang macam ni sangat-sangat memberi semangat kepada saya untuk terus berada dalam dunia akademia. Mereka kata, KPI tu perlu, tetapi itu bukan had untuk kita memberi. Kita ada tanggungjawab kepada komuniti. Walau bagaimanapun, kita tak perlu berada di semua tempat dalam satu sama. Sebab, kita memang tak mampu. Masa, ruang dan peluang kita terhad. Jadi, fokus pada sesuatu yang kita mampu supaya kita boleh menyumbang sebaiknya.
Antara nasihat yang saya semat dalam hati – kita mesti bantu pelajar kita sehabis baik. Bukan untuk diri kita sebagai penyelia, tetapi untuk pelajar itu sendiri. Ada antara mereka perlu segera mencari kerja selepas habis belajar, dan ada antaranya yang majikan sudah menunggu mereka kembali bekerja dalam industri masing-masing. Jika pelajar seliaan kita GOT, itu bukan sebab kita penyelia yang hebat, tetapi itu adalah rezeki. Bukan satu kesalahan jika pelajar bawah seliaan kita bergraduasi pada tahun ke-4, 5, ataupun hampir ‘langgar dinding’. Setiap pelajar ni latar belakangnya berbeza. Ada yang cepat belajar, ada pula yang perlukan masa 2 kali ganda untuk faham sesuatu perkara. Itu tak masuk lagi kehidupan peribadi yang mungkin melambatkan sedikit perkembangan penyelidikan mereka. Apa-apapun, kita dah usaha sebaik mungkin.
Saya akan simpan semua pesanan mereka dalam jiwa. Apa ilmu yang saya ada, saya akan kongsi. Saya tidak akan simpan ilmu seorang diri sebab takut orang lain lebih pandai daripada saya. Ilmu Allah itu luas. Semakin banyak kita gali dan kongsi, semakin banyak yang Allah akan bagi. Semoga jiwa akademia subur dalam diri saya. KPI – saya pilih untuk penuhi dan terus beri lagi.
Leave a Reply