Allahuakbar… ..allahuakbar Allahuakbar… ..allahuakmelayu-25bar
Subuhnya… Di mana aku berada
Masih enak dalam kelambu rindu
Sambil berpoya-poya dengan waktu
Masa bagaikan menderu dan langkah tiada arah tuju
Fikiran bercelaru..
Terlupa aku semakin dihujung waktu

Siapa aku di depan tuhanku
Zohornya… ..
Aku lebih rela memikirkan kelaparan, kehausan dan rehatku
Aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
Aku bertolak ansur dengan waktu
Aku gembira membilang keuntungan
Aku terlupa betapa besarnya kerugian
Jika aku menggadaikan sebuah ketaatan

Siapa aku di depan tuhanku
Asarnya… .
Aku lupa warna masa
Cepat berubah bagai ditolak-tolak
Aku masih dengan secawan kopiku
Terlupa panas tidak dihujung kepala
Aku masih khusyuk bercerita
Tentang si Tuah yang setia dan
si Jebat yang derhaka

Siapa aku di depan Tuhanku
Maghribnya… ..
Aku melihat warna malam
Tetapi aku masih berligar disebalik tabirnya
Mencari sisa-sisa keseronokan
Tidak terasa ruang masa yang singkat
Jalan yang bertongkat-tongkat
Ruginya bertingkat-tingkat

Siapa aku di depan Tuhanku
Isyaknya… ..
Kerana masanya yang panjang
Aku membiarkan penat menghimpit dadaku
Aku membiarkan kelesuan menggangguku
Aku rela terlena sambil menarik selimut biru
Bercumbuan dengan waktuku

Siapa aku di depan tuhanku
Kini aku tertanya-tanya
Sampai bila aku akan melambatkan sujudku
Apabila azan kembali menderu
Aku tidak akan membiarkan surauku sepi
Kerana dihujung hidup pasti ada mati
Bagaimana jenazahku akan disembahyangkan di sini
Jika ruang ku dibiarkan kosong
Jika wajahku menjadi asing
Pada mentari di depan TUHANKU.

 

Nukilanku EZ M.N