Janganlah engkau cemas tentang rezekimu, kerana pencariannya kepadamu lebih kuat daripada engkau mencarinya.Apabila kamu telah memperolehi rezeki untuk hari ini, maka janganlah engkau risaukan rezeki untuk hari esok, sebagaimana engkau tidak lagi merisaukan hari kelmarin yang sudah berlalu. Sedangkan hari esok, apakah engkau tahu sama ada ia akan sampai kepadamu atau tidak?
Uruslah keperluanmu untuk hari ini. Seandainya kamu mengenal Allah, maka kamu akan menyibukkan diri denganNya dan menjauhkan dirimu daripada memburu rezeki, kerana perasaan takut kepadaNya itu akan mampu mencegahmu daripada memburu rezeki.
Wahai hamba, Aku melihat, bahawa kamu hanya sedikit sekali mengenal Allah dan rezekiNya, sedikit sekali mengenal kekasih Allah dan pewaris para nabiNya untuk manusia. Kamu ialah manusia yang kosong daripada pengertian, tidak ubahnya bagaikan sebuah sangkar tanpa burung, atau bagaikan rumah kosong yang sudah hancur luluh atau bagaikan pepohon kering yang daunnya berguguran.
Semaraknya hati seorang hamba adalah dengan Islam, kemudian dengan meyakini hakikat dan kewujudan Islam itu, iaitu penyerahan jiwa raga secara menyeluruh.Serahkanlah dirimu kepada Allah yang Haq, maka Dia akan menyelamatkan engkau, menyelamatkan nafsumu dan dirimu sendiri. Keluarlah engkau dari hatimu dan daripada semua makhluk, khususnya manusia. Kemudian menetaplah kamu di hadapan Yang Maha Haq dengan bertelanjang daripada dirimu dan daripada segala insan. Jika al-Haq mengkehendaki, maka Dia akan memberimu pakaian dan mengembalikan engkau kepada makhluk manusia. Kerana itu ikutilah perintahNya kepadamu dan kepada semua makhluk, disertai dengan sikap reda kepada rasul yang sudah diutusNya.
Hai orang yang bodoh! Apakah yang engkau miliki dan untuk apakah semuanya itu? Engkau hanyalah seorang hamba nafsu,hamba dunia dan hamba makhluk. Engkau hanyalah hamba manusia, engkau bersekutu dengan mereka. Kerana engkau berpendapat bahawa akan ada manfaat dan mudarat yang datang daripada mereka. Wahai kaumku… malulah engkau kepada Allah dengan sebenar-benar malu. Janganlah kamu melalaikan masa-masamu, janganlah kamu mensia-siakannya, janganlah kamu menyibukkan dirimu dengan mengumpulkan sesuatu yang tidak akan dapat engkau makan, mengangan-angankan sesuatu yang tidak mungkin dapat engkau capai, membangun sesuatu yang tidak mungkin engkau diami. Kerana semuanya itu akan menghalangimu daripada makam Tuhanmu.
Ingatan kepada Allah selalu terhunjam di dalam hati orang yang arif, sehingga mereka lupa akan segala sesuatu yang pernah diingatinya sebelum itu. Apabila hal itu kamu dapat laksanakan dengan sempurna, maka syurgalah tempat tinggalmu, iaitu syurga yang dipilih dan syurga yang dijanjikan. Syurga yang dipilih di dunia ialah reda kepada Qadak allah, dekat hati kepada Allah, bermunajat kepadaNya, menyingkap tabir yang ada di antaranya dengan Allah. Ini akan menjadikan pemilik hati itu sebagai berteman dengan teman Allah di dalam kesunyiannya, tanpa perincian dan tanpa perumpamaan. Ada pun y ang dijanjikan, ialah segala sesuatu yang sudah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada orang yang beriman dan melihat Zat Allah yang Maha Agung, tanpa hijab. Tidak disangsikan lagi, bahawa semua kebaikan adalah di sisi Allah, manakala keburukan itu berada di sisi makhluk.
Kebaikan adalah dalam menghadap kepadaNya sedangkan keburukan adalah berpaling daripadaNya. Setiap amalan yang kamu harapkan ganjaranya, maka ia adalah milikmu. Manakala semua amal yang kamu lakukan demi Allah dan untuk Allah, maka amal itu adalah untukNya. Apabila engkau beramal dengan mengharapkan imbalannya, maka balasan untukmu adalah kepada makhluk, dan apabila kamu beramal kerana ZatNya maka balasan untukmu ialah kedekatanmu kepadaNya dan melihatNya.