Bagi jurujual atau seseorang yang menyertai sesuatu pertandingan, perkara paling diutamakan mereka ialah penampilan kerana ia mampu memberikan penilaian pertama pelanggan atau juri.
Jurujual biasanya berpakaian kemas supaya mudah menghampiri sesiapa saja manakala barangan yang ditawarkannya kelihatan menarik, termasuk dibungkus kemas. Peserta pertandingan, seperti nyanyian dan tarian, apatah lagi ratu cantik, berpakaian paling menarik yang boleh selain solekan supaya kelihatan cantik dan menarik.
Begitu juga dengan sesi temuduga. Tempoh dua minit pertama, iaitu bermula membuka pintu dan masuk ke ruang temuduga hinggalah duduk di kerusi sebenarnya penilaian pertama oleh penemuduga.
Bagi menilai penampilan, meja temuduga biasanya diletak sekurang-kurangnya tiga meter atau lebih dari pintu supaya panel penemuduga boleh melihat dan menilai seseorang yang hendak ditemuduga ketika dia masuk dan berjalan ke meja.
Tempoh dua minit itu boleh menjadi penentu kejayaan temuduga atau sebaliknya. Jika pada pandangan pertama penemuduga sudah menyukai seseorang itu, mungkin soalan yang diajukan tidak susah, sebaliknya lebih seperti perbualan.
Oleh itu, serlahkan penampilan diri yang terbaik tetapi bukan bermaksud berpakaian secara berlebihan, terutama bagi perempuan. Cukup sekadar kemas dan menepati kriteria jawatan yang dipohon di organisasi terbabit.
Persediaan itu tidak harus dipandang remeh oleh calon sebelum menghadiri sesi temu duga kerana apa juga kelakuan atau ciri luaran yang ditonjolkan, ia memberi tanggapan pertama serta pelbagai persepsi daripada majikan.
Seeloknya, graduan perlu dilengkapi perkara asas berkenaan sebelum melangkah keluar dari universiti supaya tidak ‘terkial-kial’ mencari bimbingan dan nasihat kerjaya selepas itu.
Ada institusi pengajian tinggi mengambil inisiatif menyediakan panduan menghadapi temuduga untuk pelajar tahun akhir mereka sebagai persiapan memasukialam pekerjaan. Panduan itu bertujuan memberi bimbingan asas persediaan untuk sesi temu duga kepada bakal graduan.
Kebanyakan syarikat dan majikan menetapkan beberapa ciri yang perlu dipenuhi bakal pekerja masing-masing, iaitu kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, kebolehan komunikasi secara efektif, mempunyai ciri kepemimpinan, personaliti menarik, positif, kebolehan membuat keputusan dan bekerja dalam kumpulan serta dapat menyesuaikan diri dan bergaul.
Kemahiran itu boleh dianggap kelebihan selain ijazah yang diperolehi sebagai pengukur kelayakan akademik kerana apabila bekerja, kita bukan sekadar melaksanakan tugasan tetapi juga perlu bercampur dengan rakan pekerja lain di syarikat masing-masing.
Majikan melihatnya sebagai kayu pengukur dalam menilai dan membuat pemilihan tenaga kerjaya.
Trelalu gugup juga menjejaskan penampilan kerana ia menunjukkan kurang keyakinan diri yang menyebabkan majikan menolak meneruskan proses temuduga kerana beranggapan calon terbabit tidak layak.
Calon perlu fokus dan bersiap sedia daripada awal supaya ketika hari temuduga tidak terlalu gugup.
Menjadi kebiasaan calon berasa ‘seram sejuk’ apabila tiba masa untuk ditemuduga hingga rasa gementar berkenaan kemungkinan boleh menyebabkan seseorang tidak dapat memberi tumpuan menjawab soalan dengan baik.
Ada kalanya keadaan boleh menjadi lebih teruk jika penemuduga seorang yang tidak mesra dan melayan calon dengan sikap kasar serta dingin.
Ini mungkin boleh memberi tekanan kepada calon hingga melakukan kesilapan ketika menjawab soalan atau gagal menonjolkan kualiti diri dengan baik.
Perlu diingat, sikap kasar seseorang penemuduga tidak seharusnya menjadi halangan kepada calon untuk meneruskan sesi temuduga atau mengubah fikirannya untuk bekerja di syarikat terbabit.
Antara cara yang boleh dilakukan ketika berhadapan dengan sikap penemuduga yang kasar adalah menarik nafas dan bersikap tenang serta berfikir positif. Calon perlu fikir bahawa sikap penemuduga tidak mewakili keseluruhan syarikat terbabit.