29 APRIL 2025 – Pada satu majlis yang penuh penghargaan dan simbolik, saya berpeluang menghadiri Majlis Pelantikan Penasihat Sesi 2025/2026 dan Penghargaan Penasihat Sesi 2023/2024 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ini merupakan salah satu amanah penting yang perlu dipikul oleh warga akademik iaitu menjadi penasihat kepada persatuan-persatuan pelajar, demi menyokong pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.

Alhamdulillah, untuk sesi kali ini, saya diberi kepercayaan untuk menyambung khidmat sebagai Penasihat Himpunan Siswazah Anak Kelantan (HIMSAK) UTM sehingga tahun 2026. Dalam masa yang sama, saya turut diraikan sebagai mantan penasihat Persatuan Sains dan Teknologi (PESAT) bagi sesi yang lepas.

Penghargaan ini menjadi satu dorongan untuk terus memberikan bimbingan terbaik kepada para pelajar, tidak hanya dalam bidang akademik tetapi juga dalam memupuk nilai kepimpinan, tanggungjawab dan jati diri. Penasihatan pelajar bukanlah sekadar tugas, tetapi satu bentuk komitmen untuk membina insan holistik yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Terima kasih diucapkan kepada TNC HEPA, Pengarah BAPP, dan seluruh team JTNC HEPA UTM atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan. Semoga amanah ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, insyaAllah.