30 April 2025- Syukur alhamdulillah dan setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada pihak UTM Innovation and Commercialisation Centre (ICC) atas jemputan yang amat bermakna ini untuk berkongsi tentang projek inovatif syarikat hiliran saya, Oil2Wang Kiosk, dalam acara antarabangsa UTM-FERPI Innovation Symposium 2025. Simposium berprestij ini merupakan hasil kolaborasi antara ICC, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Fergana Polytechnic Institute, Uzbekistan (yang akan dikenali sebagai Fergana State Technical University bermula 1 Mei 2025).

Saya telah diberi peluang sebagai speaker jemputan bagi memperkenalkan inovasi yang dibangunkan oleh saya dan pasukan Pure Aims Technologies Sdn. Bhd. untuk komuniti. Ia bukan sekadar pengiktirafan terhadap usaha kami dalam memacu penyelesaian lestari melalui platform beli balik sisa minyak masak, malah mencerminkan potensi besar inisiatif seperti Oil2Wang untuk dikembangkan ke peringkat global.

Penglibatan dalam simposium ini turut membuka peluang berharga untuk membina jaringan kerjasama antarabangsa, bertukar pandangan dengan inovator dan akademia dari pelbagai negara, serta mendapatkan maklum balas konstruktif bagi penambahbaikan masa depan projek ini. Lebih manis lagi apabila inovasi berasaskan komuniti seperti Oil2Wang mendapat tempat dalam platform global yang mengangkat tema “From Vision to Value: Sustainable Innovation”, satu pengiktirafan yang sangat saya hargai.

Semoga langkah kecil ini menjadi pencetus kepada impak yang lebih besar untuk dunia yang lebih lestari. Terima kasih sekali lagi kepada pihak penganjur atas kepercayaan dan peluang berharga ini.