Sejak kecil sebagai anak setinggan di pinggir bandaraya Johor Bahru, saya senantiasa dididik oleh kedua ibubapa saya untuk mengenal erti BUDI dan tahu membalas BUDI.

Dalam kehidupan saya sememangnya banyak sungguh saya termakan budi atas kebaikan orang-orang baik di sekeliling saya ketika di kampung, di alam persekolahan, di zaman belajar di Universiti (USM) sehinggalah saya memulakan kerjaya pada tahu 1999 sehingga sekarang. Paling tertinggi ialah BUDI yang diberikan oleh ibubapa dan adik-beradik saya. Selain itu rakan-rakan alam persekolahan di Sek Temenggong Abdul Rahman (2) – STAR 2 dan Sekolah Dato Jaafar (SDJ) dan tidak ketinggalan rakan2 sedesasiswa, sekuliah dan sepengajian di USM dulu.

Kepercayaan kepada BUDI ini, saya tanamkan dalam diri saya sejak kecil untuk senantiasa mengenang BUDI yang diberikan kepada saya dengan seikhlas mungkin.

Kepercayaan itu juga membantu saya untuk juga senantiasa memberikan bantuan kepada sesiapa saja yang memerlukan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari BUDI tersebut.

‘Berbuatlah baik kepada semua orang’ – adalah perkataan yang selalu ditanam di dalam hati & jiwa saya oleh abah dan emak saya sejak kecil. Ianya menjadi suatu yang sebati dalam diri saya.

Alhamdullilah dalam banyak hal ketika ini (dalam kerjaya) banyak kali juga ketika memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak ramai rakan-rakan akan membantu dan menolong. Terdetik di dalam hati saya selalu, adakah ini merupakan balasan kepada ‘BUDI’ yang pernah saya berikan dan mereka juga membalasnya dengan niat penuh ikhlas. Alhamdullilah segala puji-pujian kepada ALLAH.

Kepada anak-anakku – Sofia, Afif, Adib & Asfa – Ingatlah untuk senantiasa berbuat baik dan berbudi kepada semua orang tanpa mengharapkan sesuatu. Nescaya Allah akan membantu kita tika mana kita memerlukannya. In Sha Allah

Catatan : Rakaman rasa ini saya catit pada 26hb Jan 2023 yang lalu & baru berkesempatan dicatatkan dalam page ini.

Syukur & Sabar – Berbahagialah kita dengan cara kita sendiri