20 Jun 2021 dunia meraikan Hari Ayah bagi memperingati segala jasa dan sumbangan para ayah kepada keluarga masing-maing

Bagi aku, tempoh 19 tahun mengenali Ishak Hj Mohamad adalah saat-saat yang berharga untuk mendalami pengorbanan, jasa, sikap, cita-cita dan kepercayaan yang ada pada diri ‘Pak Sako’ bagi keluarga Ishak & Rohani. Kebanyakkannya menjadi warisan pada diriku….

Dari seorang anak kampung yang berhijrah ke Kota Johor Bahru dan Kota SInga hanya semata-mata untuk mengubah nasib diri dan keluarga dan keluar dari kepompong ‘kampung’ Semerah, Batu Pahat. Berbekal kecekalan dan cita-cita yang tinggi mengunung, segala rintangan dan dugaan ditempohi dengan tekad yang jitu. Pelbagai kerja yang telah diceburi demi mencari rezeki untuk sesuap nasi anak-anak yang sedang meningkat usia.

Peringatan sering kali di ucapkan bahawa – tiada harta yang abah tinggalkan untuk kamu semua adik-beradik  kecuali pelajaran yang diberikan dengan menyekolahkan kami adik-beradik semua. Ketegasan dalam mendidik kami adik beradik tiada tolok bandingnya dengan keutamaan tinggi kepada semua kami adik  beradik. Walaupun mungkin hari bekenaan tiada bekalan untuk rokok beliau, surat khabar menjadi keutamaan untuk dibawa pulang untuk bacaan kami semua.

Setiap kali tiba hari raya – ucapan dasar abah sebelum sesi bermaafan senantiasa di nanti untuk setiap kami adik beradik. Semua kami akan mendapat teguran dan harapan abah untuk tahun mendatang. Tidak ada dalam sejarah hidup kami adik-beradik untuk beraya di kampung seperti kanak-kanak sebaya kami. Setiap tiba hari raya – malam raya dan pag raya pertama – rumah kami adalah syurga yang dinanti untuk sama-sama bersiap kemas meraikan nya. Pesan abah – Tak kira ada rezeki di pagi raya untuk kami sekeluarga – malam raya & pagi raya – kami sekeluarga saban tahun pastinya berada di teratak kami sendiri. Hanya selepas tengahari raya saja, kami dibenarkan untuk pulang ke kampung untuk berjumpa atuk atau nenek dan sepupu di kampung. Dan malamnya tak kira jam berapa, kami pastinya akan tetap pulang bermalam di teratak setinggan kami.

Kesempatan aku di bawa ke majlis-majlis atau perjumpaan bersama para pemimpin masyarakat Ketika itu menjadi inspirasi aku untuk menjadi seperti beliau sebagai pemimpin masyarakat. Cita-cita mengubah nasib keluarga dari rumah sewa kami berpindah ke tanah setinggan yang diterokai. Menjadi antara peneroka terawal di situ, beliau terus menjadi pemimpin kepada masyarakat setinggan.

Menyedari minat aku dalam sukan bola sepak – sokongan tetap diberi untuk aku bermain atau menonton perlawanan bola sepak. 1986 – sejarah Argentina dan Maradona menjulang Piala Dunia, jam 3 pagi aku dikejutkan untuk dibawa ke rumah Pak Itam dengan motor Yamaha uzur bagi menonton perlawanan tersebut secara langsung di kaca TV. Tahun sebelumnya 1985, Ketika kali pertama Johor mara dan menjulang Piala Malaysia, aku juga dibawa bersama rombongan kami ke Kuala Lumpur dan Stadium Merdeka untuk menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung.

Itulah antara memori aku bersama abah ku…..al-fatihah